Penyokong Najib selar mahasiswa UM, ingatkan jangan lupa jasa Najib bagi baucar buku
Seorang penyokong tegar Datuk Seri Najib Razak menjadi sasaran kecaman ramai selepas tampil mempertahankan tindakannya menderma kepada bekas Perdana Menteri itu, dengan mengatakan bahawa Najib Razak mempunyai banyak jasa kepada rakyat.
Menerusi hantaran di Threads, pengguna menggunakan akaun Mohd Abdillah mengingatkan mahasiswa UM yang tular baru-baru ini bahawa ketika zaman Najib lah Baucar Buku 1Malaysia dan bantuan pendidikan diperkenalkan.
Menurutnya, jasa dan kebaikan Najib tidak seharusnya dilupakan, sambil menyifatkan sekurang-kurangnya Najib menukarkan pinjaman kepada biasiswa untuk graduan Ijazah Kelas Pertama.
“Kepada adik siswi yang menganggap bodoh bila melihat kami-kami ini menderma kepada DS Najib Razak. Adik mungkin tak berapa ingat, tapi masa zaman sekolah dulu, kau antara yang pernah merasa bantuan RM100 daripada kerajaan DS Najib.
“Adik kene ingat Baucar Buku 1Malaysia diperkenalkan oleh DS Najib, nak harapkan idea PH buat benda baru tak ada dik,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut dibidas ramai pengguna lain yang menyifatkan tidak wajar pemberian bantuan ratusan ringgit dijadikan alasan untuk menghalalkan penyelewengan berbilion ringgit wang negara.
Seorang pengguna, na2im, berkata bantuan kerajaan dan persoalan integriti pemimpin merupakan dua perkara berbeza.
“Rakyat berhak menghargai dasar yang baik dan pada masa yang sama menegur kesalahan pemimpin. Tetapi adakah menerima bantuan RM100 bermaksud kita wajib menyokong pemimpin itu sampai bila-bila?” katanya.
Seorang lagi pengguna, reenarrayy, menyindir tindakan menderma kepada Najib dengan membandingkannya dengan perbuatan menderma wang kepada tabung masjid sebelum mengambil semula wang yang jauh lebih besar.
Turut menarik perhatian adalah respon Chatbot Meta AI yang membuat perbandingan antara peruntukan Baucar Buku 1Malaysia dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut maklumat yang diberikan, peruntukan baucar buku melibatkan jumlah sebanyak RM890 juta untuk lebih 3.9 juta pelajar sejak 2012, manakala wang 1MDB yang diselewengkan pula adalah kira-kira RM42 bilion.
Beban keseluruhan kepada kerajaan akibat skandal 1MDB mencecah RM51.4 bilion, termasuk hutang yang telah dibayar dan jaminan yang masih ada.
Perbandingan itu mengundang persoalan mengenai hujah mempertahankan seseorang pemimpin berdasarkan jasa ketika pentadbirannya, sedangkan isu korupsi 1MDB turut menjadi sebahagian daripada perbahasan mengenai legasi Najib.