Jangan cakap sedia ambil alih kerajaan kalau bajet alternatif pun dikata syok sendiri – Mahfuz balas Hamzah
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipersoal berhubung kesediaan pembangkang mentadbir negara apabila menganggap bajet alternatif sebagai usaha ‘syok sendiri’ kerana mereka bukan kerajaan.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, bagaimana rakyat mahu menilai kemampuan pembangkang mentadbir negara sekiranya rancangan mereka selepas memperoleh kuasa tidak dibentangkan untuk dinilai terlebih dahulu.
“Hamzah kata bajet alternatif syok sendiri kerana tidak boleh dilaksanakan oleh pembangkang. Kalau begitu, jangan pula berkata pembangkang bersedia mengambil alih kerajaan sebelum rakyat tahu apa rancangan pembangkang selepas mengambil alih,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mahfuz berkata, bajet alternatif bukan semata-mata dokumen untuk dilaksanakan serta-merta, sebaliknya menjadi ruang untuk pembangkang menjelaskan perancangan ekonomi mereka sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Menurutnya, melalui pelan berkenaan, rakyat boleh menilai bagaimana pembangkang bercadang mengurus hasil negara, mengawal defisit, membiayai pembangunan dan membantu rakyat.
“Jadi, kalau belum menjadi kerajaan dijadikan alasan untuk tidak menyediakan pelan menyeluruh, bagaimana rakyat hendak menilai kemampuan pembangkang sebelum memberikan mandat?” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa Pakatan Harapan (PH) pernah membentangkan Bajet Alternatif 2018 ketika masih menjadi pembangkang.
Beliau berkata, pengalaman itu menunjukkan penyediaan rancangan ekonomi boleh dilakukan walaupun sesebuah gabungan belum menjadi kerajaan.
Dalam pada itu, Mahfuz membangkitkan cadangan Hamzah untuk menghubungkan logistik dari timur ke barat dan membina pelabuhan baharu di Kota Bharu.
Beliau berkata, cadangan berkenaan perlu disertakan penjelasan mengenai kos projek, sumber pembiayaan, kajian kebolehlaksanaan dan manfaat ekonominya.
Mahfuz menegaskan rakyat bukan sekadar mahu mengetahui pihak yang berhasrat mengambil alih Putrajaya, sebaliknya mahu memahami rancangan yang akan dilaksanakan sekiranya pembangkang diberikan kuasa.
Beliau berkata, pembangkang yang mahu dinilai sebagai kerajaan alternatif perlu mengemukakan pelan yang boleh diteliti rakyat, bukannya menjadikan ketiadaan kuasa sebagai alasan untuk tidak menyediakan perancangan menyeluruh.