Turunkan Tuanku Muhriz kena patuh Perlembagaan, proklamasi 19 April gagal Ikut UUTKNS – Badan Peguam
Proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang bertujuan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta namun ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah kerana gagal mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), menurut Badan Peguam Malaysia.
Presiden Badan Peguam Malaysia Anand Raj berkata Perkara 10(1) UUTKNS mensyaratkan siasatan menyeluruh dan lengkap oleh para Undang sebelum mereka boleh menggesa pemerintah untuk menarik diri daripada menjalankan fungsi-fungsi baginda atau turun takhta.
Beliau berkata sebarang “siasatan sewajarnya” di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 perlu mematuhi kehendak perlembagaan dan prinsip keadilan asasi.
“Selain kesahihan proklamasi yang didakwa itu dan pengeluarannya (yang menurut AGC adalah tidak sah), tiada rekod semasa yang dikeluarkan untuk membuktikan bahawa siasatan sebegitu pernah dijalankan, atau bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia pernah diberikan peluang untuk menangkis dakwaan terhadap baginda,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Anand berkata hak untuk didengar adalah prinsip asas keadilan asasi, yang memerlukan seseorang yang didakwa melakukan salah laku mengetahui kes terhadapnya dan diberi peluang yang adil untuk memberi maklum balas sebelum keputusan yang memudaratkan dibuat.
Merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Kehakiman Majlis Privy dalam kes B. Surinder Singh Kanda lawan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu [1962] 1 MLJ 169, beliau berkata prinsip itu terpakai kepada semua orang termasuk ketua negara.
“Jika warganegara biasa dilindungi secara perlembagaan daripada pemecatan tidak sah tanpa pendengaran yang adil, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berhak mendapat perlindungan serupa,” katanya.
Beliau berkata kegagalan mematuhi Perkara 10(1) UUTKNS menjadikan sebarang tindakan bagi menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta adalah tidak sah, sambil menambah mahkamah boleh membatalkan keputusan itu yang dicapai dengan mencabuli prinsip keadilan asasi.
Anand turut mengemukakan beberapa persoalan mengenai pengurusan krisis itu termasuk tindakan Menteri Besar semasa mengumumkan perkara tersebut pada 16 Sept lepas berdasarkan proklamasi berkenaan meskipun pendahulunya secara terbuka menyifatkannya sebagai tidak sah.
Beliau berkata Menteri Besar itu juga mendakwa telah menandatangani proklamasi tersebut di bawah tekanan dan paksaan seperti yang dinyatakan dalam laporan polis pada 8 Sept lepas.
“Orang ramai berhak mengetahui siapa yang melakukannya, bagaimana dan mengapa ia berlaku serta mengapa beliau hanya membuat laporan polis pada 8 Sept, iaitu kira-kira lima minggu selepas proklamasi yang didakwa itu dikeluarkan,” katanya sambil menambah penjelasan juga diperlukan berhubung sebab Menteri Besar itu kemudian mengesahkan proklamasi berkenaan.
Anand berkata asas operasi kerajaan negeri juga mungkin memerlukan penjelasan kerana Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Badan Peguam Malaysia turut mengambil maklum kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada 14 Okt lepas yang menyeru agar sebarang perbezaan pendapat diselesaikan mengikut adat dan undang-undang serta berpandukan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.