Jangan takut bersuara! JKOM beri amaran, SOP pelik dan tuntutan palsu wajib dilapor

Penjawat awam yang berdepan kejanggalan dalam urusan perolehan atau mengesan cubaan memalsukan tuntutan tidak seharusnya berdiam diri, sebaliknya perlu segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, menegaskan bahawa pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), termasuk amalan yang meragukan dan berpotensi membuka ruang kepada rasuah, tidak boleh terus dilindungi.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pengurusan tertinggi JKOM menyokong serta akan melindungi warga jabatan yang berani melaporkan salah laku demi mempertahankan prinsip kebenaran.

“Saya menyeru seluruh warga JKOM agar tidak takut untuk bersuara. Jika anda melihat amalan yang bertentangan dengan SOP, proses perolehan yang meragukan, atau percubaan memalsukan tuntutan, laporkan dengan segera.

“Pengurusan tertinggi sentiasa menyokong dan akan melindungi mereka yang berani mempertahankan prinsip kebenaran,” katanya.

Mohd Hisyamuddin, yang turut dikenali sebagai Sham Ghaz, berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) JKOM di Putrajaya.

Bengkel itu bertujuan mengenal pasti titik buta (blind spots) dalam sistem dan proses kerja yang berpotensi membuka ruang kepada rasuah, ketirisan serta penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, JKOM bukan sahaja perlu cemerlang dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, malah mesti memastikan tadbir urus jabatan sentiasa bersih dan telus.

Penegasan itu meletakkan integriti sebagai tanggungjawab bersama warga jabatan, khususnya dalam memastikan prosedur kerja dipatuhi dan sebarang petunjuk salah laku tidak dipandang ringan.

BACA JUGA Sempadan Kelantan dikawal 24 jam! Saifuddin arah polis perangi jenayah rentas sempadan