Polis Kelantan parah dilibas parang, suspek positif dadah
Seorang anggota polis cedera parah selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki tempatan ketika menjalankan operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di Tanah Merah, Kelantan, semalam.
Ketua Polis Kelantan, CP Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia kira-kira 30 tahun itu bertindak agresif ketika cuba ditangkap selepas melarikan diri dari sebuah rumah di Kampung Lalang Pepuyu.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 petang pada 17 Oktober ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kelantan, dibantu anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu, menyerbu rumah berkenaan.
“Semasa serbuan dilakukan, suspek seorang warganegara tempatan yang berumur lebih kurang 30 tahun telah melarikan diri dari rumah yang diserbu.
“Pasukan serbuan terus mengejar suspek yang melarikan diri dengan memegang sebilah parang,” menurut kenyataan media Ketua Polis Kelantan.
Suspek kemudian melibas parang ke arah anggota polis ketika ditangkap, menyebabkan seorang anggota mengalami kecederaan parah dan retak pada tangan sebelah kiri sebelum suspek berjaya diberkas.
Hasil tangkapan dan pemeriksaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, dadah jenis pil yaba seberat anggaran 0.1 gram serta sebotol cecair disyaki air ketum.
Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah methamphetamine.
Semakan rekod lampau pula mendapati lelaki berkenaan mempunyai enam rekod kesalahan berkaitan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.
Dalam kenyataan sama, Mohd Yusoff menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas.
Beliau turut menggesa orang ramai bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan dadah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat terus terpelihara.
BACA JUGA Jangan takut bersuara! JKOM beri amaran, SOP pelik dan tuntutan palsu wajib dilapor