JPN jawab isu kahwin bukan Islam: “Daftar perkahwinan bukan ambil alih tugas pemimpin agama”

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil menjelaskan perbezaan antara upacara keagamaan dengan pendaftaran perkahwinan sivil susulan isu yang menyentuh sensitiviti agama, sambil menegaskan bahawa kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza di sisi undang-undang.

Dalam kenyataan media hari ini, JPN berkata perkahwinan sivil bagi pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) perlu dilaksanakan serta didaftarkan mengikut peruntukan undang-undang negara.

Menurut jabatan itu, masyarakat perlu memahami fakta dan undang-undang berkaitan sebelum membuat tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya dalam perkara yang melibatkan sensitiviti agama.

JPN menjelaskan bahawa setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan tersendiri, termasuk Buddha, Kristian dan Hindu, yang merupakan urusan penganut serta pemimpin agama masing-masing.

Bagaimanapun, dari sudut undang-undang, Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.

“Fungsi tersebut merupakan tanggungjawab yang dilaksanakan menurut undang-undang negara dan bukannya pengambilalihan peranan pemimpin agama,” menurut kenyataan itu.

JPN turut menjelaskan bahawa perkahwinan sivil boleh dilaksanakan di pejabat jabatan berkenaan atau di rumah ibadat dan persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat serta prosedur yang ditetapkan.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menegaskan bahawa pengupacaraan perkahwinan sivil oleh pegawai yang diberi kuasa di bawah Akta 164 tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan.

Kerajaan, menurut JPN, sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia, namun pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil tetap penting bagi melindungi hak pasangan, anak-anak dan institusi keluarga.

JPN turut menggesa orang ramai supaya tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas untuk menyebarkan dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat.

Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memastikan urusan pendaftaran perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat serta budaya di negara ini.

BACA JUGA Pelaburan asing Terengganu cuma RM51.5 juta! 20 kali lebih rendah daripada Pahang