MCMC siasat hantaran Threads didakwa hina institusi diraja Negeri Sembilan

Seorang individu dirakam percakapan di Balai Polis Labu, telefon bimbit bersama eSIM turut disita Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung hantaran di platform Threads yang disyaki mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.

Siasatan itu susulan aduan berhubung kandungan media sosial yang menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan individu berkenaan telah dirakam percakapannya di Balai Polis Labu bagi mendapatkan maklumat dan mengenal pasti fakta berkaitan kes itu.

Turut disita ialah sebuah telefon bimbit bersama eSIM untuk tujuan analisis forensik.

Menurut MCMC, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain kandungan asal, suruhanjaya itu turut meneliti aspek penyebaran hantaran berkenaan melalui platform media sosial.

MCMC berkata pihaknya akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan sekiranya terdapat unsur kesalahan lain yang memerlukan tindakan mengikut undang-undang.

“Kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan undang-undang serta menghormati institusi diraja,” menurut kenyataan itu.

MCMC menegaskan sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan proses perundangan sewajarnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan identiti individu terbabit atau memperincikan kandungan hantaran yang sedang disiasat.

BACA JUGA Dulu orang Pas kata fitnah, sekarang guna isu sama jatuhkan Anwar – netizen dedah pengalaman zaman kecil