Dari zapin hingga wayang kulit, PM Anwar puji jerih perih penggiat seni

Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kesungguhan dan jerih perih penggiat seni dalam mengangkat martabat warisan bangsa menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Perdana Menteri berkata, di sebalik kehebatan persembahan Siti Nurhaliza, terserlah kesungguhan seluruh pasukan produksi dan penggiat seni yang mencurahkan bakat serta tenaga bagi mengangkat martabat seni dan warisan bangsa.

Menurutnya, persembahan yang mengetengahkan pelbagai khazanah seni tradisional itu bukan sekadar menghiburkan penonton, malah mengingatkan masyarakat tentang pentingnya memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.

“Daripada alunan muzik tradisional, irama zapin, joget dan asli hingga seni wayang kulit serta keindahan busana warisan, semuanya mengajak kita menghayati kekayaan khazanah seni Nusantara yang mesti terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi mendatang,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau lewat malam tadi.

Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Siti Nurhaliza dan seluruh pasukan yang menjayakan konsert berkenaan kerana berjaya mengetengahkan keindahan seni tradisional dalam sebuah persembahan yang penuh bermakna.

Beliau berharap usaha sedemikian dapat diteruskan supaya seni dan budaya tempatan kekal mekar sebagai kekuatan jati diri bangsa, sekali gus tidak ditelan arus pemodenan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memuji kesetiaan ribuan peminat yang tidak berganjak meskipun hujan membasahi Stadium Bukit Jalil sepanjang konsert berlangsung.

“Salut juga buat para peminat yang tidak berganjak meski hujan membasahi Stadium Bukit Jalil, tanda kecintaan terhadap industri seni dan dukungan yang tidak pernah luntur buat Biduanita Negara,” katanya.

Kelmarin, Konsert Tradisional Gema Bumantara berlangsung kira-kira tiga jam bermula pukul 8.30 malam, dengan lebih 30 lagu klasik dan tradisional dipersembahkan diiringi tarian zapin, wayang kulit dan busana tradisional.

PMX yang duduk bersebelahan suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut menyaksikan persembahan itu bersama kira-kira 63,000 penonton meskipun hujan.

BACA JUGA Malaysia melonjak 8 anak tangga, prestasi ekonomi kini ke-4 dunia