‘Usia saya cuma tersisa sedikit’, luahan pilu Tun M selepas tiga minggu pemergian Hasmah

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kesedihan mendalam selepas tiga minggu pemergian isteri tercinta, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, sambil menyedari usianya sendiri yang semakin berbaki.

Dalam kenyataan penuh emosi hari ini, negarawan berusia 101 tahun berkenaan mengakui masih belum cukup kuat meskipun sudah mencuba kembali ke pejabat sejak sehari dua lalu.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya menerusi kenyataan bertajuk Terima Kasih.

Di sebalik kesedihan yang masih terasa, Dr Mahathir menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana memanjangkan jodohnya bersama Siti Hasmah sehingga ke penghujung usia.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” luahnya.

Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarham isterinya.

Beliau juga mengakui amat terharu dengan doa yang tidak putus-putus dititipkan orang ramai buat Siti Hasmah, sama ada di pusara mahupun dari tempat masing-masing.

Dalam kenyataan sama, bekas Perdana Menteri itu turut merendah diri memohon maaf kepada mereka yang mungkin tidak sempat disambut salam atau dibalas ucapan takziah sepanjang beliau melalui detik kehilangan tersebut.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” kata Tun M lagi.

Tun Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 28 September lalu dan disemadikan di Pusara Negara menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

BACA JUGA ECRL maklumkan kadar tambang, RM125 ke Kota Bharu, warga emas 50 peratus diskaun