Ada dakwa hutang 1MDB dah langsai, tak tahu kitab mana yang dibaca – PMX
Dakwaan bahawa semua hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dilunaskan tidak benar kerana kerajaan masih menanggung baki obligasi dan membayar faedah berkaitan skandal kewangan itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pertambahan jumlah hutang negara perlu dilihat dalam konteks tanggungan lama yang masih perlu dibayar kerajaan, selain usaha mengawal pinjaman baharu bagi memastikan kedudukan kewangan awam kekal mampan.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB, semua sudah dibayar. Saya tidak tahu kitab mana yang dibacanya. Tak betul,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan masih membayar faedah hutang 1MDB serta hutang yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu.
“Hutang negara sememangnya menjadi kontroversi kerana jumlah keseluruhan hutang bertambah. Betul, kerana hutang lama perlu dibayar,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan bertanggungjawab perlu memastikan pinjaman baharu dibuat berdasarkan keperluan sebenar untuk mengurus ekonomi, bukannya bagi menampung perbelanjaan berlebihan.
“Namun, kita perlu sentiasa merancang lebih awal dan tidak seharusnya membebankan generasi akan datang untuk menanggung perbelanjaan berlebihan pada masa ini,” katanya.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kerajaan telah membayar RM42.5 bilion setakat 31 Ogos 2026 bagi memenuhi komitmen berkaitan 1MDB, termasuk pembayaran balik prinsipal, faedah, yuran guaman dan kos operasi.
MoF sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan masih perlu menanggung baki obligasi berjumlah RM20.1 bilion sekiranya tiada dana tambahan berjaya diperoleh pada masa depan.
Pada Julai lalu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kerajaan masih bertanggungjawab terhadap Nota Jangka Sederhana Islam yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
Komitmen itu merangkumi bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.
Usaha pulihkan aset diteruskan
MoF berkata tindakan perundangan dan kerjasama antarabangsa akan diteruskan bagi memaksimumkan pemulihan aset 1MDB yang diselewengkan, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung negara.
Dalam pada itu, strategi pengurusan hutang kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mengawal pertambahan hutang dan membina semula penampan fiskal, sambil memastikan pembiayaan bagi pembangunan serta perkhidmatan penting dapat diteruskan.
Kerajaan turut berusaha menggembleng lebih banyak modal swasta bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman awam.
Pendekatan itu bertujuan memastikan pengurusan hutang dibuat secara berhemat, dengan mengambil kira keperluan ekonomi semasa tanpa memindahkan beban kewangan yang berlebihan kepada generasi akan datang.
BACA JUGA ECRL maklumkan kadar tambang, RM125 ke Kota Bharu, warga emas 50 peratus diskaun