Akmal diperintah bayar RM300,000 kepada Teresa Kok selepas kalah saman fitnah

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh diperintahkan membayar sejumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas keputusan Mahkamah Tinggi Melaka hari ini memihak kepada pemimpin DAP itu dalam saman fitnah yang difailkannya.

Daripada jumlah berkenaan, RM250,000 merupakan ganti rugi am dan teruk, manakala RM50,000 lagi adalah kos mahkamah.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang penerbitan semula kenyataan yang diputuskan sebagai fitnah serta mengarahkan kandungan berkenaan dipadam daripada media sosial dalam tempoh tujuh hari.

Teresa dalam kenyataannya hari ini menyambut baik keputusan tersebut yang menurutnya membuktikan bahawa kebebasan bersuara mesti disertai tanggungjawab dan akauntabiliti.

Beliau menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat, dirinya sentiasa terbuka menerima kritikan keras serta perdebatan politik, namun kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah atau menjatuhkan maruah seseorang.

“Perbezaan politik mesti diperdebatkan berdasarkan fakta dan hujah yang munasabah, bukannya melalui penghinaan peribadi.

“Tiada siapa, tanpa mengira kedudukan politiknya, berada di atas undang-undang,” katanya.

Teresa turut menjelaskan bahawa tindakan undang-undang terhadap Akmal bukan bertujuan mendapatkan keuntungan kewangan atau membungkam lawan politik.

Sebaliknya, beliau berkata, saman tersebut dibuat demi mempertahankan maruah, prinsip dan kedaulatan undang-undang.

Menurutnya, keputusan mahkamah itu diharapkan menjadi peringatan bahawa kebebasan demokrasi perlu digunakan secara bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan nilai demokrasi.

“Undang-undang telah bersuara dan keadilan telah ditegakkan,” katanya.

Keputusan tersebut sekali gus memperlihatkan implikasi undang-undang yang boleh dihadapi pemimpin politik apabila kenyataan mereka didapati memfitnah pihak lain.

Setakat kenyataan Teresa yang diberikan, belum diketahui sama ada Akmal akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.