Mahasiswa UM tampil bersuara pertahan pendiriannya, tegaskan tidak akan mohon maaf

Pelajar Universiti Malaya, Ummi Umairah Bakhit, yang tular baru-baru ini kerana mengkritik sumbangan wang kepada Datuk Seri Najib Razak, tampil mempertahankan pendiriannya bahawa tindakan menderma kepada golongan elit yang terpalit rasuah adalah bodoh dan tidak bermoral.

Dalam hantaran di media sosial, beliau menegaskan tidak akan memohon maaf kerana membangkitkan isu tersebut biarpun menyedari soalan yang dikemukakan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa sebelum ini telah mencetuskan perdebatan hangat.

“Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf. Ini kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit sememangnya, ya, merupakan perbuatan yang paling bodoh dan paling tidak bermoral.

“Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut,” katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya.

Ummi Umairah berkata, beliau tidak pernah memilih isu untuk diperjuangkan, malah pernah hadir dalam demonstrasi bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. 

“Saya juga pernah bersuara mengenai ketidaksamaan peluang di universiti saya. Sejak hari pertama, saya konsisten menyuarakan pendirian saya,” katanya.

Beliau juga meluahkan rasa kecewa terhadap reaksi sebahagian masyarakat yang disifatkannya dipengaruhi buli siber, obsesi politik dan mentaliti feudal.

Beliau percaya, menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah kesalahan di sisi undang-undang, sebaliknya ia adalah ungkapan tegas untuk menggambarkan sesuatu perbuatan yang sukar dipercayai atau tidak masuk akal. 

“Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan memanggil seseorang itu bodoh,” katanya.