Sah ROS batalkan pendaftaran PN

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hari ini mengesahkan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Ia selepas alasan yang diberikan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran, serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.

ROS memberitahu, keputusan membatalkan pendaftaran PN dibuat di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Sebelum ini ROS telah memberi peluang kepada PN untuk mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara-perkara yang dinyatakan di dalam notis yang diberikan.

“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut, serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.

“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832,” menurut ROS dalam kenyataan pagi ini.

Kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) bermula apabila Bersatu mendakwa tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, ketika gabungan itu membincangkan urusan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bersatu kemudiannya membawa pertikaian itu kepada ROS menerusi aduan rasmi pada 11 Ogos, termasuk membangkitkan isu kedudukan keanggotaannya dalam PN serta dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan berkenaan. 

Perkembangan itu membawa kepada tindakan ROS yang kemudian mengeluarkan notis kepada PN pada 22 September untuk memberikan penjelasan berhubung aduan tersebut, sebelum menggantung semua kegiatan gabungan itu berkuat kuasa 23 September. 

PN kemudiannya mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober, namun penjelasan itu didapati tidak mencukupi untuk mengekalkan pendaftarannya. 

Hari ini, ROS akhirnya mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.