Wang awam bukan untuk ikut trend, Anwar tegur cara KWAP menilai pelaburan
Pengurusan wang awam memerlukan penelitian yang lebih ketat dan tidak boleh bergantung semata-mata pada reputasi pelabur antarabangsa atau kecenderungan pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mengenai pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada Selasa.
Ronald menyebut pelaburan bernilai RM160 juta dalam eFishery dan meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, selain langkah memperketat proses penilaian pelaburan bagi mengelakkan kerugian wang awam.
Menjawab persoalan itu, Anwar berkata proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian pelaburan KWAP secara umumnya mempunyai prosedur yang teratur sebelum sesuatu cadangan dibawa kepada lembaga pengarah.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam pelaburan di Jakarta apabila keputusan dibuat dengan terlalu bergantung pada penyertaan syarikat besar dan trend pelaburan antarabangsa.
“Cuma saya lihat umpamanya dan pelaburan di Jakarta yang baru ini, itu memang satu kelemahan besar kerana mereka hanya ikut trend international kerana syarikat-syarikat besar yang berupaya di Perancis dan beberapa negara luar ikut jadi mereka rasa cukup,” katanya.
Menurut Anwar, penyertaan pelabur antarabangsa tidak semestinya menjadi jaminan bahawa sesuatu pelaburan selamat atau akan memberikan pulangan yang baik.
Beliau berkata KWAP turut bergantung pada kedudukan SoftBank dan penyertaan institusi antarabangsa lain, sedangkan penilaian risiko perlu dibuat secara bebas dan menyeluruh.
“Tak mungkin SoftBank melabur dengan begitu cuai. Tapi kenyataannya begitu, mengharapkan beberapa agensi, institusi international, di Jepun dan Eropah dan memberikan lead kepada kita tak semestinya betul,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan akan memperketat peraturan bagi memastikan keputusan pelaburan dibuat dengan lebih bertanggungjawab, terutama apabila melibatkan wang awam.
“Jadi yang dilakukan ialah memperketatkan lagi peraturan. Bukan saja ikut trend international, tetapi juga bertanggungjawab dalam kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelemahan dalam satu pelaburan tidak seharusnya menafikan prestasi KWAP secara keseluruhan, yang menurutnya turut mencatat keuntungan dan rekod baharu.
Pendedahan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap akauntabiliti institusi pelaburan berkaitan kerajaan, khususnya apabila keputusan pelaburan berisiko tinggi melibatkan dana awam.
Kerajaan perlu memastikan setiap keputusan pelaburan disokong penilaian risiko yang bebas, penelitian terhadap kedudukan kewangan syarikat serta mekanisme pemantauan yang berkesan, dan bukan hanya bersandarkan reputasi pelabur lain.
BACA JUGA Peguam Negara bakal ketuai jawatankuasa khas, Anwar beri tiga bulan siasat mafia korporat