‘Fahaman agama melampau berpangkal pada soal pendidikan’
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat kemunculan pegangan agama yang ekstrem berkaitan dengan faktor pendidikan.
Beliau berkata, proses dan sistem pendidikan sesebuah masyarakat penting bagi mengelak bercambahnya ekstremisme agama.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tambun berkenaan menyeru agar semua pihak meninggalkan sikap cenderung menjatuhkan hukuman.
“Menyingkap soal fahaman agama yang melampau, tentunya ini berpangkal pada soal pendidikan, dan bagaimana masyarakat kita dididik dan diasuh.
“Sering diingatkan bahawa sayugia kita menjadi pendakwah dan bukan penghukum.
“Justeru, penting untuk diketengahkan faham yang lebih sederhana, serta membudayakan adab al-ikhtilaf dalam menyikapi perbezaan pandangan.
“Turut disingkap ialah persoalan adab al-ikhtilaf serta kepentingan mewacanakannya seperti yang dikupas secara tuntas oleh Almarhum Shaykh Taha Jabir Alwani,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata demikian selepas pertemuan beliau malam tadi dengan Shaykh Mufti Ismail Menk, Shaykh Muhammad Salah dari Huda TV, Amerika Syarikat dan Shaykh Wael Ibrahim dari The Aware Academy, Australia.
Turut hadir isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Pendidikan, serta beberapa tokoh ilmuwan agama tempatan.
“Saya dan hadirin mengambil peluang bermuzakarah bersama Mufti menyentuh beberapa ittijahat (jalur pemikiran) umat semasa,” kata Anwar.
Dalam masa sama, Menteri Kewangan tersebut berkata, Malaysia juga akan mengambil langkah proaktif untuk menangani gejala Islamofobia yang membarah di negara luar.
Hal itu, jelasnya, akan menjadi dasar yang khusus bagi Kementerian Luar Negeri.
“Saya terharu dengan rasa senang dan nyaman Mufti Menk dan rombongannya sepanjang keberadaan mereka di Malaysia.
“Beliau berhasrat untuk kembali dengan lebih kerap ke sini. Saya nyatakan bahawa pintu kita sentiasa terbuka.
“Mudah-mudahan negara tercinta ini sentiasa mendapat limpahan berkat dari Allah SWT,” tambah Anwar lagi.
BACA JUGA Masyarakat madani dari pandangan Ustaz Fadzil Mohd Noor