Bimbang data pergerakan rakyat, PMX saran beralih kepada aplikasi tempatan TuJu
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan rakyat menggunakan aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai alternatif kepada Waze bagi melindungi keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.
Menurut beliau, langkah itu disarankan berikutan kebimbangan terhadap risiko keselamatan data pengguna Waze yang terikat di bawah undang-undang Israel.
Aplikasi TuJu dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi memenuhi keperluan navigasi jalan raya.
Anwar berkata, perkara itu antara isu yang dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3/2026, hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut meneliti perkembangan ancaman siber serta langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan kedaulatan digital negara.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan data dan identiti rakyat,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID dan perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Turut dibincangkan ialah persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC) serta ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) autonomi.
Anwar berkata, kerajaan juga sedang memperkukuh ekosistem identiti bersepadu dengan menjadikan MyKad sebagai pengenalan fizikal dan MyDigital ID bagi urusan digital.
Jelas beliau, perlindungan keselamatan siber perlu sentiasa dipertingkat supaya pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat.
Pada masa sama, usaha itu penting bagi memastikan keselamatan maklumat, kepercayaan pengguna dan kedaulatan digital negara terus terpelihara.
BACA JUGA Akmal kalah saman fitnah, Umno pula ditarbiyah netizen