PN bermasalah sesama sendiri, Mukhriz pula cuba salahkan PKR

Ketika Perikatan Nasional (PN) berdepan kemelut melibatkan parti komponennya sendiri sehingga mengundang tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula cuba mengheret Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ke dalam masalah gabungan pembangkang itu.

Tindakan Mukhriz berkongsi slaid yang kononnya pernah dibentangkan dalam program KEADILAN bagi mengaitkan parti tersebut dengan keputusan ROS mendapat bantahan keras Setiausaha Agung KEADILAN.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menegaskan slaid yang disebarkan Mukhriz menerusi Instagram dan Threads sama sekali tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana Kongres atau Konvensyen KEADILAN.

Malah, katanya, bahan tersebut juga tidak pernah disediakan oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan.

Beliau menjelaskan program yang berlangsung pada 15 dan 16 Ogos lalu di Melaka sebenarnya ialah Kongres Nasional KEADILAN 2026, bukannya Konvensyen seperti didakwa Mukhriz.

Menurutnya, kongres tersebut mendapat liputan meluas pelbagai organisasi media termasuk Bernama, Utusan Malaysia dan MalaysiaGazette.

Sekiranya slaid berkenaan benar-benar pernah dibentangkan, sudah tentu terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti.

Sebaliknya, hasil semakan KEADILAN mendapati slaid tersebut pertama kali dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu.

Setiausaha Agung KEADILAN itu turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Mukhriz yang disifatkannya menyebarkan bahan tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

“Mukhriz bukan orang baharu dalam politik. Amat mendukacitakan apabila seorang pemimpin politik berpengalaman seperti beliau menyebarkan sesuatu bahan tanpa usul periksa terlebih dahulu.

“Jika beliau mempunyai bukti yang sahih, kemukakan rekod pembentangan asal,” tegasnya.

Tiada kaitan

Bagaimanapun, perkara paling penting yang dibangkitkan KEADILAN ialah punca sebenar tindakan ROS terhadap PN yang menurut parti itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan KEADILAN.

Sebaliknya, beliau menegaskan aduan yang membawa kepada tindakan ROS merupakan isu melibatkan parti komponen dalam gabungan PN sendiri.

“Lebih penting, aduan yang membawa kepada tindakan ROS terhadap Perikatan Nasional merupakan isu yang melibatkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri. KEADILAN tidak terlibat dalam aduan tersebut,” katanya.

Penjelasan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengapa KEADILAN mahu dikaitkan dengan masalah yang menurut kenyataan berkenaan berpunca daripada pertikaian dalam gabungan pembangkang sendiri.

Tindakan Mukhriz juga dilihat oleh KEADILAN sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang sedang membelenggu PN dengan meletakkan kesalahan kepada pihak lawan politik.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung KEADILAN menuntut Mukhriz menarik balik dakwaan tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada parti berkenaan.

Beliau turut menyifatkan tindakan menggunakan slaid yang tidak pernah dibentangkan itu untuk mengaitkan KEADILAN dengan keputusan ROS sebagai satu fitnah terhadap parti.

“Perbezaan politik bukan lesen untuk menyebarkan fitnah,” tegasnya.

Kontroversi ini memperlihatkan bagaimana kemelut yang didakwa berpunca daripada parti komponen PN sendiri kini turut mencetuskan pertikaian baharu dengan KEADILAN.

Persoalannya, jika masalah PN benar-benar berpunca daripada aduan dalam kalangan parti komponennya sendiri, mengapa Mukhriz perlu mengaitkan KEADILAN dengan menggunakan slaid yang kesahihannya kini dipertikaikan?

BACA JUGA Bimbang data pergerakan rakyat, PMX saran beralih kepada aplikasi tempatan TuJu