Shuhaily mengaku tak bersalah cederakan dua anggota polis di KLIA

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.

Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. Beliau memohon supaya kes berkenaan dibicarakan.

“Faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya ketika menjawab pertuduhan tersebut. 

Mengikut pertuduhan, Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter Terminal 1 KLIA, Sepang, antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada 28 September lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie. Mohd Shuhaily pula diwakili pasukan peguam yang diketuai beberapa peguam kanan, termasuk Datuk Rosal Azimin Ahmad dan Datuk Yaacob Md Sam. 

Sebelum memasuki mahkamah, Mohd Shuhaily berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan berhubung kes berkenaan.

“Hari ini adalah proses untuk saya, orang panggil jalani satu proses perundangan sebagaimana yang saya sebut tempoh hari dalam sidang media saya.

“So, I will let the court (menjalankan) the due process today,” katanya kepada pemberita. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan dan mendoakannya sepanjang berdepan kes berkenaan. Mohd Shuhaily berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan lanjut kepada media mengenai perkara itu selepas prosiding bermula, sebaliknya menyerahkan urusan komunikasi seterusnya kepada peguamnya. 

Kes itu mendapat perhatian selepas video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai Mohd Shuhaily memarahi individu di KLIA Terminal 1 tular pada 28 September lalu. Susulan kejadian itu, dua anggota polis berkenaan mendakwa mereka dikasari ketika menjalankan tugas rasmi.

Pada 1 Oktober lalu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan susulan insiden berkenaan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Mohd Shuhaily kini akan melalui proses perbicaraan bagi menjawab kedua-dua pertuduhan tersebut. Pengakuan tidak bersalah itu bermakna dakwaan berkenaan masih perlu dibuktikan di mahkamah dan beliau belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.

BACA JUGA ‘Dulu masuk tender tak pernah dapat, zaman MADANI ayah akhirnya berjaya’