ANALISIS │Bawa masuk Hamzah, ketepikan Bersatu, akhirnya PN berkubur : Siapa patut dipersalahkan?

Pas kini menyalahkan pihak yang didakwa berpaling arah selepas pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibatalkan, sedangkan rentetan krisis gabungan itu turut memperlihatkan bagaimana kepimpinan Pas membuka pintu kepada kumpulan bekas pemimpin Bersatu sebelum hubungan dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin retak.

Persoalannya, adakah Bersatu yang memusnahkan PN kerana membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), atau kepimpinan Pas sendiri yang membuka jalan kepada kehancuran gabungan tersebut?

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan hari ini mengecam pembatalan pendaftaran PN dan mendakwa tindakan itu memperlihatkan ketakutan kerajaan terhadap pembangkang.

Lebih menarik, Hadi mendakwa pentadbiran PN dijalankan secara teratur dan keharmonian parti anggotanya masih utuh, kecuali satu pihak yang menurutnya telah menyisihkan diri dan berpaling arah.

Walaupun tidak menamakan pihak berkenaan, kenyataan itu menimbulkan persoalan apabila Bersatu sebelum ini berulang kali mendakwa kepimpinan PN mengenepikan haknya sebagai parti pengasas gabungan tersebut.

Krisis semakin ketara apabila PN menerima Parti Wawasan Negara yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 22 Jun lalu, ketika hubungan kumpulan bekas pemimpin Bersatu itu dengan Muhyiddin berada pada tahap paling tegang.

Langkah menerima kumpulan Hamzah menimbulkan persoalan sama ada Pas sedang membina pakatan baharu dalam PN dengan mengurangkan kebergantungan kepada Bersatu pimpinan Muhyiddin.

Pertikaian bertambah serius apabila Bersatu mendakwa haknya menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dinafikan sehingga parti itu mengemukakan aduan rasmi kepada ROS pada 11 Ogos.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan aduan tersebut dibuat bagi mempertahankan perlembagaan gabungan, khususnya Fasal 7.1 yang didakwa telah dilanggar oleh kepimpinan PN.

ROS kemudian mengeluarkan notis pada 22 September sebelum membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober setelah mendapati penjelasan gabungan itu gagal menyangkal asas tindakan berkenaan.

Ironinya, ketika Hadi menggambarkan hanya satu pihak yang berpaling arah, pemimpin Wawasan pula dilaporkan mahu mengusulkan supaya Bersatu dikeluarkan daripada PN, sekali gus memperlihatkan betapa seriusnya keretakan hubungan dalam gabungan tersebut.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada Bersatu benar-benar meninggalkan PN secara sukarela atau semakin tersisih akibat percaturan politik yang menguntungkan kumpulan bekas pemimpinnya.

Pada masa sama, tuduhan Hadi bahawa kerajaan takut kepada PN perlu dibuktikan kerana ROS mengaitkan pembatalan pendaftaran dengan isu pematuhan perlembagaan gabungan, walaupun keputusan itu masih boleh dicabar melalui mahkamah.

Jika Pas mahu menyalahkan Bersatu kerana membuat aduan, Pas juga wajar menjelaskan mengapa aduan itu timbul, siapa yang bertanggungjawab terhadap pertikaian hak Bersatu dan mengapa masalah tersebut gagal diselesaikan secara dalaman.

Akhirnya, selepas membuka pintu kepada kumpulan Hamzah dan menyaksikan Bersatu semakin terpinggir, kepimpinan Pas tidak boleh sekadar menuding jari kepada pihak yang didakwa berpaling arah tanpa menjawab peranannya sendiri dalam krisis yang akhirnya membawa kepada pembatalan pendaftaran PN.

BACA JUGA Akmal cari simpati? Dari ‘no fear, no surrender’ kepada jual motorsikal bayar saman