Johari putuskan, Takiyuddin perlu tarik balik perkataan ‘munafik’ yang dikaitkan dengan PMX
Ahli Parlimen Kota Bharu diberi tempoh hingga esok untuk menarik balik kenyataan itu, jika gagal, RSN Rayer boleh mengemukakan usul bagi tindakan lanjut di Parlimen
Dewan Rakyat menyaksikan pertikaian mengenai penggunaan perkataan “munafik” memasuki fasa baharu apabila Speaker, Tan Sri Johari Abdul, mengarahkan Ahli Parlimen Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, menarik balik kenyataan berkenaan selewat-lewatnya esok.
Johari berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti penyata rasmi persidangan atau Hansard bagi perbahasan Belanjawan 2027 pada Isnin lalu, susulan bantahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mendakwa penggunaan istilah itu dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Takiyuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, perlu menarik balik kenyataan tersebut sama ada ketika persidangan Dewan Rakyat atau secara bertulis kepada Speaker. Jika arahan itu tidak dipatuhi, Rayer boleh mengemukakan usul untuk tindakan lanjut.
“Jika tidak ditarik balik, Jelutong (RSN Rayer) boleh mengemukakan usul kepada saya,” kata Johari.
Kontroversi itu tercetus ketika Takiyuddin membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada Isnin lalu apabila beliau memetik hadis mengenai tanda-tanda orang munafik sebelum mengaitkan perbahasannya dengan istilah “waad”, yang bermaksud janji dan digunakan dalam ucapan belanjawan Anwar.
Rayer kemudian membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4), yang berkaitan penggunaan bahasa kurang sopan dalam Dewan, sambil mendakwa istilah “munafik” dan “hypocrite” dalam ucapan Takiyuddin ditujukan kepada Perdana Menteri dan belanjawan kerajaan. Beliau meminta Speaker meneliti rekod rasmi persidangan sebelum membuat keputusan.
Johari sebelum ini mengingatkan Ahli Parlimen supaya berhati-hati menggunakan perkataan yang mempunyai konotasi agama kerana boleh menimbulkan salah faham dan mencetuskan pertikaian berpanjangan.
“Kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus sebab saya bukan dari sekolah agama,” katanya pada Isnin.
Selepas keputusan diumumkan, Ahli Parlimen Pas, Datuk Awang Hashim (Pendang), bangun mempertahankan Takiyuddin dengan mendakwa kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu. Bagaimanapun, Johari tidak membenarkan Awang mencelah kerana beliau tidak membawa salinan Hansard yang berkaitan.
Ahli Parlimen Pas, Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar), kemudian memaklumkan bahawa beliau mempunyai salinan Hansard, namun Speaker tetap tidak membenarkannya mencelah dan menegaskan perkara itu boleh dibawa melalui saluran yang ditetapkan.
“Sebab itu saya tidak mahu perkara ini dibahaskan. Apabila berbahas, mereka bercakap dalam keadaan marah. Saya sudah membuat keputusan. Jika Kota Bharu tidak mahu menarik balik kenyataannya, Jelutong boleh mengemukakan usul,” kata Johari, sambil menegaskan usul itu boleh dibawa kepada jawatankuasa untuk dibincangkan dan diputuskan.
Ketegangan berterusan apabila Awang mempersoalkan tindakan Speaker yang tidak membenarkannya membahaskan keputusan tersebut, sambil mendakwa Johari terlalu tegas dalam menguatkuasakan peraturan Dewan. Johari membalas dengan mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak menggunakan masa persidangan untuk pertikaian politik.
“Kamu mengambil masa rakyat. Jangan bawa politik ke dalam (Dewan). Kalau mahu berpolitik, pergi ke luar. Saya tidak berminat membawa politik ke sini,” katanya.
Kini, perhatian tertumpu kepada tindakan Takiyuddin menjelang tempoh akhir yang ditetapkan Speaker. Jika beliau menarik balik kenyataan itu, isu tersebut mungkin tidak perlu diteruskan melalui usul Rayer.
Namun, jika arahan itu tidak dipatuhi, usul berkenaan boleh membuka laluan kepada penelitian lanjut oleh jawatankuasa Parlimen. Pertikaian itu turut mengangkat persoalan tentang batas penggunaan bahasa dalam perbahasan, khususnya apabila istilah berkaitan agama muncul dalam pertembungan politik.
BACA JUGA ANALISIS │Bawa masuk Hamzah, ketepikan Bersatu, akhirnya PN berkubur : Siapa patut dipersalahkan?