Lebih 2,100 penduduk PPR Taman Mulia nikmati kemudahan lebih selamat selepas 24 tahun

FOTO BERITA: Lawatan Turun Padang YB Hannah Yeoh, Menteri diJabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan. Turut hadir Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur ke Blok B, PPR Taman Mulia,Jalan Budiman 1, Kuala Lumpur. 21hb Oktober 2026 (Rabu)

Kira-kira 2,128 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak kini menikmati persekitaran kediaman lebih selamat dan selesa selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja naik taraf bernilai RM6.67 juta.

PPR yang dibina pada 2002 itu mempunyai 912 unit kediaman membabitkan dua blok bangunan setinggi 21 tingkat.

Selepas lebih dua dekad digunakan, beberapa komponen utama bangunan memerlukan penambahbaikan, khususnya sistem bekalan elektrik dan perlindungan kebakaran.

Menurut kenyataan DBKL, sebanyak RM2.55 juta dibelanjakan bagi menggantikan kabel elektrik dan papan suis utama, manakala RM272,000 diperuntukkan untuk pemasangan sistem pencegahan kebakaran Selain itu, RM3.48 juta digunakan bagi mengecat semula bangunan dan RM370,000 untuk kerja penurapan jalan demi keselesaan penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut meninjau hasil penambahbaikan tersebut dalam lawatan bersama Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur, , hari ini.

Delegasi turut melawat kebun komuniti yang menjadi ruang interaksi sosial dan aktiviti kemasyarakatan penduduk.

Sementara itu, pengurusan PPR berkenaan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) sejak 1 Disember 2025, dengan urusan penyelenggaraan dikendalikan ejen pengurusan yang dilantik.

DBKL menegaskan, kerjasama penduduk dalam menjaga kemudahan awam amat penting bagi memastikan pelaburan jutaan ringgit itu memberikan manfaat berpanjangan.

Menurut DBKL, matlamat penambahbaikan tersebut bukan sekadar mencantikkan bangunan lama, sebaliknya memastikan keluarga berpendapatan rendah dapat menikmati kediaman yang selamat, terurus dan berkualiti di ibu negara.
