Keselamatan data negara tidak boleh dikompromi, kerajaan saran rakyat beralih daripada Waze
Kerajaan memandang serius pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna oleh aplikasi navigasi Waze, khususnya apabila terma penggunaannya melibatkan pemakaian undang-undang Israel dan bidang kuasa mahkamah rejim itu.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa keselamatan negara dan perlindungan data rakyat tidak boleh dikompromi.
Menurut kenyataan itu, sebarang risiko keselamatan yang melibatkan Israel tidak boleh dipandang ringan, manakala perlindungan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara mesti sentiasa diutamakan.
“Kerajaan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang risiko keselamatan yang melibatkan Israel.
“Perlindungan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara mesti sentiasa diutamakan, termasuk dalam menilai implikasi penggunaan aplikasi yang tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa Israel,” menurut kenyataan itu.
MKN turut menjelaskan bahawa maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna merupakan data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, terutama apabila melibatkan urusan rasmi serta kepentingan strategik negara.
Justeru, kemudahan teknologi tidak seharusnya mengatasi tuntutan keselamatan negara, termasuk dalam penggunaan aplikasi navigasi yang mengumpulkan maklumat pergerakan pengguna.
Sehubungan itu, penjawat awam dan rakyat Malaysia disarankan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), atau aplikasi tempatan lain yang bersesuaian.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan, orang ramai boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), MKN, Jabatan Perdana Menteri.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui FAQ di laman rasmi NACSA: https://www.nacsa.gov.my/faq-waze.php.