Akmal Saleh tarik balik akaun QR lepas terima sumbangan orang ramai lebih RM45,000

Ketua Pemuda Umno, Muhamad Akmal Saleh menarik semula nombor akaun yang dikongsikan di Facebook beliau, selepas beberapa jam memuat naik posting tawaran untuk membida motosikal jenis Honda X-ADV milik beliau dan ikan tilapia ternakannya.

Menerusi hantaran di Facebook, Akmal berkata beliau terpaksa menarik semula nombor akaunnya selepas menerima sumbangan orang ramai berjumlah hampir RM45,102.18.

Kata beliau, kebanyakan individu yang memasukkan wang ke akaunnya bukan bertujuan membeli motosikal atau ikan tilapia miliknya, sebaliknya mahu memberikan sumbangan kepadanya.

“Saya mohon maaf kerana terpaksa untuk menarik semula no akaun saya di dalam posting yang sebelum ini 

“Kerana hampir semua yang masukkan duit dalam akaun saya bukan untuk membeli motor atau ikan talapia saya,tetapi kerana ingin menyumbang kepada saya 

“Saya sangat-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu untuk menjual aset saya iaitu motor dan ikan saya terlebih dahulu,” katanya.

Akmal turut menjelaskan bahawa beliau tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantunya dan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara yang dihadapinya.

“Saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu saya, kerana saya akan bertanggungjawab sepenuhnya maka insya-Allah saya akan tanggung sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak lagi memasukkan wang ke akaunnya kerana berasa bersalah menerima sumbangan tersebut.

“Saya mohon untuk jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua.

“Tidak mengapa saya tanggung, saya hanya perlukan doa dari anda semua sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, Akmal memaklumkan beliau akan memberikan perincian mengenai motosikal jenis X-ADV miliknya kepada individu yang berminat untuk membelinya.