Zahid pesan Adun jangan campur tangan isu Diraja, tapi tindakan MB sendiri bagaimana?
Nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tidak lagi mencampuri urusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta institusi diraja mengundang persoalan mengenai pendirian parti itu dalam kemelut takhta negeri berkenaan.
Persoalan itu dibangkitkan Pempengaruh Liyana Marzuki menerusi hantaran di media sosial susulan kenyataan Zahid yang meminta semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan mengasingkan isu institusi diraja daripada urusan pentadbiran kerajaan.
Menurut Zahid, mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan melalui penyampaian perkhidmatan yang berkesan, manakala jentera kerajaan negeri mesti terus berfungsi walaupun ketika ini tiada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Namun, Liyana mempersoalkan penggunaan perkataan “lagi” dalam nasihat Zahid, yang menurutnya membawa makna tersendiri dalam konteks kemelut institusi diraja Negeri Sembilan.
Beliau turut membangkitkan tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, yang sebelum ini terlibat dalam perkembangan berkaitan Proklamasi 19 April 2026, termasuk keputusan Exco yang mengisytiharkan proklamasi itu sah.
“Nasihat saya kepada Adun N9. Jangan lagi campur tangan dalam urusan DKU dan institusi Raja,” petik Liyana daripada kenyataan Zahid.
Liyana kemudian mempersoalkan sama ada tindakan Menteri Besar menandatangani proklamasi dan mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja boleh dianggap sebagai campur tangan dalam urusan institusi diraja.
Persoalan itu timbul kerana kemelut berkenaan bukan sekadar pertikaian politik antara parti, sebaliknya turut membabitkan bidang kuasa DKU, Undang Yang Empat dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada 4 Oktober lalu, DKU menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, manakala Proklamasi 19 April 2026 tidak mempunyai kesan dari sudut perlembagaan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) juga sebelum ini menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Kemelut itu semakin meruncing apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua anggota Exco pada September lalu selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Raja-Raja Melayu turut menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan penyelesaiannya kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah.
Kenyataan Zahid kini meletakkan satu persoalan politik yang sukar dielakkan: jika Adun BN diminta supaya tidak lagi mencampuri urusan DKU dan institusi diraja, sejauh mana prinsip itu turut terpakai kepada tindakan Menteri Besar dan kerajaan negeri sebelum ini?
Persoalan tersebut menjadikan pendirian Umno dalam kemelut berkenaan terus menjadi perhatian, khususnya ketika negeri itu berdepan cabaran memastikan pentadbiran berjalan seperti biasa tanpa mengetepikan kedudukan institusi diraja dan peruntukan perlembagaan.
BACA JUGA Hibah RM3.3 bilion Tabung Haji: Dua bekas bos didakwa tipu lembaga pengarah