Ustaz Wadi Annuar terbabit kemalangan di Gerik, ini keadaan beliau sekarang
Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik, Perak, bersama beberapa orang kakitangannya hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di laman Facebook Ustaz Wadi Annuar yang memohon orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terlibat.
“Dukacita dimaklumkan bahawa Ustaz Wadi Annuar bersama beberapa orang staf telah terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan di Gerik, Perak.
“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terlibat,” menurut hantaran di Facebook beliau.
Hantaran itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas doa dan keprihatinan yang diberikan.
Dalam hantaran berasingan, pentadbir halaman Ustaz Wadi memaklumkan pendakwah itu kini stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan.