Keselamatan negara tiada kompromi, Anwar mohon maaf jika larangan Waze susahkan rakyat
Keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi meskipun keputusan menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze mungkin menyusahkan sebahagian pengguna, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kedaulatan negara dan keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti dipertahankan, sekali gus menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Saya mohon maaf andai keputusan pengharaman aplikasi navigasi milik rejim Israel ini menyusahkan rakyat.
“Namun, soal keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi sama sekali kerana kedaulatan negara serta keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti kita pertahankan,” katanya.
Kerajaan pada 21 Oktober mengarahkan semua penjawat awam menghentikan penggunaan Waze bagi urusan rasmi, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna.
Keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel. Arahan berkenaan dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar pada 20 Oktober.
Anwar turut menyarankan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, sebagai alternatif.
Bagaimanapun, Menteri Digital Gobind Singh Deo menjelaskan larangan itu hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi kerajaan dan tidak meliputi orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Waze menolak dakwaan bahawa aplikasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan data peribadi pengguna dieksploitasi, sambil menegaskan bahawa ia mematuhi dasar privasi dan piawaian perlindungan data antarabangsa.
Pendirian kerajaan itu mencerminkan keutamaan terhadap keselamatan siber, perlindungan data dan kedaulatan negara dalam penggunaan teknologi digital, dengan Anwar menegaskan tiada ruang boleh dibiarkan terbuka kepada ancaman yang berpotensi menjejaskan kepentingan rakyat.
BACA JUGA Guru diserang ketika siaran langsung di Facebook, Fahmi minta MCMC siasat kelemahan platform