Dakwa fakta isu pesawah bercanggah, Pengarah Mobilisasi AMANAH buat laporan polis terhadap ZRA

FOTO BERITA: Laporan Polis oleh YB Abbas Azmi Pengarah Mobilisasi Amanah Nasional terhadap ZRA berhubung isu melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor. 23hb Oktober 2026 (Jumaat)

Pengarah Mobilisasi AMANAH Nasional, Abbas Azmi membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), berhubung penyebaran video berkaitan isu pesawah dan pengurusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini selepas Abbas mendakwa terdapat beberapa percanggahan antara kenyataan ZRA dalam video berkenaan dengan penjelasan rasmi kementerian

Menurut Abbas, beliau meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kandungan video yang disiarkan menerusi akaun media sosial berkenaan. “Saya menonton video tersebut sehingga habis dan membandingkannya dengan kenyataan rasmi kementerian. Saya melihat terdapat beberapa fakta yang bercanggah.

“Kenyataan yang tidak berasaskan fakta tepat boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan pesawah,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis. Abbas turut meminta pihak berkuasa meneliti kandungan berkenaan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan komunikasi, fitnah dan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangannya dengan pegawai penyiasat, pihak polis dijangka memanggil ZRA serta pemilik akaun yang menyiarkan video terbabit bagi membantu siasatan. Dalam pada itu, Abbas mengingatkan pempengaruh media sosial supaya mengamalkan prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan terbuka.

Katanya, tindakan mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian selepas sesuatu dakwaan disebarkan bukan pendekatan terbaik, terutama apabila kandungan tersebut sudah mendapat perhatian ramai. Abbas turut mengakui pesawah berdepan pelbagai kesukaran sejak sekian lama. Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan dan subsidi bagi meningkatkan hasil pertanian serta membantu golongan berkenaan.

“Berhujahlah secara matang dan pastikan setiap fakta yang dikeluarkan tepat. Setiap perkataan mempunyai kesan, lebih-lebih lagi apabila disampaikan oleh individu yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat,” katanya. Beliau berharap siasatan polis dapat menjelaskan percanggahan yang dibangkitkan serta menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab ketika menyebarkan maklumat di media sosial.