Bekas pegawai kanan tentera dedah risiko, sokong ketegasan kerajaan isu Waze
Aplikasi navigasi Waze bukan sekadar membantu pengguna mencari jalan dan mengelak kesesakan, malah data lokasi serta corak perjalanan yang dikumpulkannya berpotensi mendedahkan maklumat sensitif berkaitan pergerakan pegawai kanan kerajaan, tentera dan individu berprofil tinggi.
Perkara itu dibangkitkan Mejar Jeneral Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Hamid, mantan Pengarah Perancangan Strategi, dalam tulisan yang dikongsikan menerusi Facebook Pena Celoreng ketika mengulas risiko keselamatan berkaitan penggunaan aplikasi berkenaan.
Menurutnya, penelitian terhadap terma penggunaan Waze menimbulkan persoalan mengenai pemilikan data, bidang kuasa undang-undang dan sejauh mana maklumat lokasi pengguna boleh dimanfaatkan untuk membina profil pergerakan seseorang.
Radzi berkata beliau sendiri merupakan pengguna Waze dan Google Maps sebelum manmeneliti terma penggunaan aplikasi itu susulan arahan kerajaan melarang penggunaannya dalam kalangan penjawat awam bagi urusan rasmi.
Beliau menjelaskan bahawa dalam menilai keselamatan negara, tiga konsep perlu dibezakan, iaitu ancaman, kerentanan dan risiko, kerana kewujudan kelemahan tidak semestinya membuktikan sesuatu ancaman telah dilaksanakan.
Antara perkara yang dibangkitkannya ialah status Waze Mobile Ltd yang menurut tulisan itu diperbadankan di Israel, selain terma penggunaan yang menetapkan bidang kuasa undang-undang di Tel Aviv.
“Adakah ini bermakna Waze merupakan aplikasi perisikan Israel? Tidak semestinya tetapi dari sudut keselamatan negara, pemilikan, bidang kuasa undang-undang dan kawalan terhadap data kita merupakan perkara ‘kedaulatan’ iaitu ‘kedaulatan data’,” katanya.
Radzi turut memberi perhatian kepada pengumpulan data lokasi dan laluan perjalanan pengguna melalui GPS serta maklumat daripada peranti, yang menurut analisisnya boleh digunakan untuk mengenal pasti corak kehidupan atau pattern of life intelligence.
Sebagai contoh, rekod perjalanan berulang seseorang pegawai kanan dari rumah ke pejabat, lawatan ke kem tentera atau kehadiran di lokasi strategik berpotensi membentuk gambaran mengenai rutin serta pergerakannya jika data itu dapat dihimpun dan dianalisis.
Beliau juga mengingatkan bahawa laporan pengguna mengenai kesesakan, kemalangan dan sekatan jalan raya boleh menyumbang kepada gambaran geospatial lebih luas apabila digabungkan dengan maklumat lain, termasuk menerusi kaedah risikan sumber terbuka atau OSINT.
Bukan Waze sahaja perlu dinilai
Selain data lokasi, Radzi membangkitkan keluasan lesen penggunaan kandungan yang dihantar pengguna kepada Waze, termasuk kemungkinan kandungan berkenaan digunakan, diubah suai atau diedarkan mengikut terma yang ditetapkan. Beliau menegaskan perkara itu tidak bermaksud Waze memiliki semua data peribadi pengguna.
Beliau turut mengingatkan bahawa aplikasi pemetaan lain seperti Google Maps dan Apple Maps, selain aplikasi media sosial serta peranti penjejak aktiviti, juga perlu dinilai berdasarkan keupayaan mengumpul data lokasi.
“Dalam hal ini, saya tidak menuduh Waze melakukannya tetapi berdasarkan data yang dikumpul oleh Waze, ia mampu melakukannya,” katanya ketika membincangkan kemungkinan analisis data pergerakan digunakan untuk mengenal pasti lokasi tumpuan dan rutin individu.
Sehubungan itu, Radzi menyatakan sokongan terhadap sekatan penggunaan Waze serta aplikasi navigasi awam lain yang belum dinilai keselamatannya bagi operasi terperingkat dan pergerakan ke lokasi strategik. Namun, beliau menegaskan langkah tersebut perlu berasaskan penilaian ancaman, kerentanan dan risiko, bukannya semata-mata nama aplikasi atau negara asal syarikat.
BACA JUGA ‘Politik bukan tempat cari jawatan, tetapi medan selamatkan negara’ – Khalid Samad