Jangan sibuk melancong ke luar negara, keindahan Malaysia sendiri belum habis diteroka

FOTO BERITA: Majlis Pelepasan Program Jelajah Lokal Treasure Hunt bersama YBrs. Tuan Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia. Turut hadir YBhg. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer All Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad di Ruang Legar, MYDIN Subang Jaya, Selangor. 24hb Oktober 2026 (Sabtu)

Rakyat Malaysia digalakkan meneroka keindahan dan keunikan destinasi pelancongan dalam negara sebelum berbelanja besar untuk bercuti ke luar negara. Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata, Malaysia mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang luar biasa, termasuk hutan hujan tropika berusia lebih 130 juta tahun yang menjadi tarikan pelancong seluruh dunia.

Menurutnya, destinasi seperti Kundasang di Sabah serta Sibu dan Miri di Sarawak menawarkan pengalaman pelancongan menarik yang wajar dinikmati sendiri oleh rakyat Malaysia. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelepasan Program Jelajah Lokal Treasure Hunt anjuran Mydin dengan kerjasama Tourism Malaysia di MYDIN Subang Jaya, hari ini.

Lee turut memuji inisiatif Mydin menggabungkan aktiviti membeli-belah dan melancong menerusi program yang disertai lebih 50 kenderaan itu. Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu mempromosikan destinasi tempatan, malah merancakkan ekonomi komuniti setempat termasuk golongan B40 melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, beliau mendedahkan aktiviti membeli-belah menyumbang 36.9 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelancongan berjumlah RM121.3 bilion pada 2025, sekali gus membuktikan kepentingan sektor peruncitan kepada industri pelancongan negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin berkata, percutian dalam negara sebenarnya menawarkan lebih banyak kelebihan dari segi penjimatan kos dan kemudahan mendapatkan makanan halal.

Beliau mengambil contoh kos pengangkutan di Singapura yang boleh mencecah RM75 bagi satu perjalanan menggunakan perkhidmatan e-hailing, sedangkan perbelanjaan sama boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti menarik di Malaysia.

Ameer turut menggalakkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menggunakan baki bantuan masing-masing untuk membeli barangan keperluan atau menyumbang kepada golongan memerlukan melalui inisiatif kebajikan Mydin.

Program Jelajah Lokal Treasure Hunt itu turut menjadi antara usaha menyemarakkan kempen Melawat Malaysia 2026, selain membuka laluan kepada Kempen Jualan Akhir Tahun Negara yang bakal berlangsung dari 15 November 2026 hingga 3 Januari 2027.

Pada masa sama, Ameer mengingatkan peserta supaya mengutamakan keselamatan jalan raya kerana mereka yang memandu melebihi had laju atau menerima saman trafik sepanjang pertandingan boleh dibatalkan penyertaan.
