Tiada kompromi! Zahid tegaskan Pas hanya dapat tujuh kerusi, tambahan dua ditolak?

Harapan Pas untuk mendapatkan tambahan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) yang menetapkan hanya tujuh kerusi untuk ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembahagian tujuh kerusi itu diputuskan berdasarkan persetujuan bersama yang telah dimeterai antara kedua-dua gabungan dan kekal menjadi pegangan BN.

Menurutnya, tujuh kerusi berkenaan ialah kawasan yang tidak akan ditandingi BN, manakala pembahagiannya antara Pas dan parti lain dalam PN diserahkan kepada gabungan itu sendiri.

“Saya pun mendengar adanya usaha-usaha pengintaian itu tetapi kita telah ada bai’ah, kita telah ada perjanjian bahawa mereka diberikan peluang untuk merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi oleh BN.

“Kita serahkan pada mereka untuk pengagihan dalam kalangan parti-parti gabungan dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di Bandaraya Melaka, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas harapan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang semalam menyuarakan hasrat supaya rundingan diadakan dengan BN bagi mendapatkan tambahan dua kerusi lagi untuk gabungan itu.

Ditanya sama ada pendirian BN mengenai had pembahagian kerusi itu masih kekal, Ahmad Zahid menegaskan pihaknya akan berpegang pada persetujuan yang telah dicapai.

“Setakat ini itulah yang telah diputuskan dan kita pegang apa yang telah kita persetujukan bersama,” katanya.

Rabu lalu, Ahmad Zahid mengesahkan rundingan dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka telah dimuktamadkan.

Berdasarkan pembahagian itu, BN akan bertanding di 21 kerusi DUN, manakala Pas bersama rakan sekutunya dalam PN akan bertanding di baki tujuh kerusi.

Dengan pendirian itu, sebarang hasrat untuk menambah kerusi bagi PN memerlukan persetujuan baharu daripada BN, sedangkan Ahmad Zahid setakat ini menegaskan bahawa pihaknya kekal berpegang pada pembahagian yang telah dipersetujui.

BACA JUGA ZRA dilapor polis bukan kerana bela pesawah, tetapi fakta salah yang diulang-ulang – Zamir