Pengerusi BN sendiri akui Wee Ka Siong terkejut, Zahid serah kemelut kepada Ab Rauf
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkejut apabila senarai calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan tanpa pemakluman awal kepadanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menyerahkan urusan perbincangan awal berhubung kemelut tersebut kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, meskipun isu berkenaan melibatkan parti komponen gabungan yang dipengerusikannya sendiri.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah bertemu Ka Siong sebelum majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi dan mengakui berlaku kegagalan pemakluman oleh pihak urus setia.
“Benar, beliau pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh urus setia mengenai pengumuman calon itu.
“Bagaimanapun, masalah ini akan kita selesaikan, kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Oktober,” katanya kepada media selepas Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk, hari ini.
Bantahan
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa keputusan menamakan calon berkenaan mungkin dibuat menerusi perbincangan antara Ab Rauf dengan kepimpinan MCA Melaka.
Beliau bagaimanapun masih membuka ruang untuk MCA mengemukakan bantahan atau mencadangkan perubahan terhadap senarai calon yang sudah diumumkan.

“Ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah. Jadi, terserah kepada Presiden MCA untuk melakukannya,” kata Zahid lagi.
Malam tadi, Ka Siong bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan dewan MITC sebelum pengumuman calon BN dibuat sebagai tanda bantahan terhadap proses pengagihan kerusi.
Presiden MCA itu mendakwa pihaknya pada awalnya dimaklumkan bahawa majlis berkenaan hanya melibatkan pelancaran jentera pilihan raya, bukannya pengumuman calon.
Malah, beliau menegaskan MCA tidak akan mengiktiraf calon yang diumumkan tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti, termasuk apabila kerusi yang pernah ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
BN sebelum itu mengumumkan calon bagi 21 kerusi DUN Melaka, termasuk dua wakil MCA, iaitu Datuk Ngwe Hee Sem di Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di Klebang.
BACA JUGA Kenali 5 calon AMANAH bagi PRN Melaka 2026