Azmin ungkit hukuman penjara 5 tahun, beri amaran keras kepada Pas jika teruskan mesyuarat PN

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi amaran kepada Pas dan sekutunya mengenai risiko tindakan undang-undang, termasuk hukuman penjara sehingga lima tahun, jika berlaku kesalahan berkaitan pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Amaran itu disuarakan ketika Pas merancang meneruskan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) hari ini, meskipun status pendaftaran gabungan berkenaan masih menjadi pertikaian di mahkamah.

Azmin menerusi kenyataan media hari ini mengingatkan bahawa Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan pertubuhan yang dibatalkan pendaftarannya menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, Seksyen 42 akta sama pula memperuntukkan bahawa individu yang menguruskan atau membantu pengurusan pertubuhan sedemikian boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Sekiranya Pas dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat ‘Majlis Tertinggi Perikatan Nasional’ dalam situasi yang dijelaskan di atas, Bersatu khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.

Mesyuarat tergempar

Dalam kenyataan sama, Azmin mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengeluarkan surat jemputan bertarikh 23 Oktober bagi mengadakan mesyuarat tergempar hari ini.

Ini kerana pada tarikh sama, Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung pelaksanaan pembatalan pendaftaran PN.

“Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Datuk Seri Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Oktober 2026 untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional apabila beliau sedia maklum bahawa pada hari yang sama, satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

Sebelum ini, RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu selepas mendapati penjelasan gabungan berkenaan gagal menyangkal asas pembatalan yang dibangkitkan.

Bagaimanapun, pada 22 Oktober lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad, membenarkan permohonan PN untuk menggantung pelaksanaan keputusan pembatalan itu sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman.

Menggantung pelaksanaan

Mahkamah turut menggantung pelaksanaan notis RoS yang menghalang kegiatan PN. Justeru, perintah berkenaan membolehkan gabungan itu meneruskan aktiviti politik sementara kesnya belum diputuskan secara muktamad.

Namun, Azmin merujuk ringkasan alasan penghakiman yang menurutnya menjelaskan bahawa perintah penggantungan pelaksanaan tidak secara automatik memulihkan pendaftaran yang sudah dibatalkan.

Beliau turut berpandangan bahawa semua pihak perlu mengekalkan keadaan sedia ada berkaitan keputusan RoS sehingga keseluruhan proses mahkamah selesai.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin turut membangkitkan tindakan kepimpinan PN sebelum ini yang mempertikaikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Katanya, antara alasan yang digunakan ialah pertikaian mengenai korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu serta kedudukan parti itu sebagai anggota PN.

Sedangkan, menurut Azmin, RoS telah mengesahkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam PN menerusi surat bertarikh 12 Ogos lalu.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Pas dan sekutunya yang kini menjemput wakil Bersatu menghadiri mesyuarat tanpa terlebih dahulu menjelaskan pendirian terhadap pertikaian berkenaan.

Azmin menegaskan penjelasan mengenai isu korum MPT dan keanggotaan Bersatu merupakan prasyarat penting sebelum mesyuarat tersebut diadakan.

Beliau berkata, kegagalan menyelesaikan perkara itu boleh menimbulkan persoalan terhadap kesahan notis mesyuarat tergempar berkenaan.

Bersatu kini sedang meneliti perkembangan tersebut dan akan merujuk pasukan peguam sebelum membuat sebarang pendirian lanjut.

Sementara itu, Takiyuddin sebelum ini menjelaskan bahawa perintah Mahkamah Tinggi membolehkan PN kembali menjalankan aktiviti, termasuk mengadakan mesyuarat seperti biasa.

Mesyuarat tergempar yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat Pas itu bertujuan membincangkan kedudukan PN, isu perundangan serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

BACA JUGA ‘Jangan permainkan saya!’ – Ka Siong berang, beri amaran keras kepada BN Melaka