Bukan tumpang nama bapa, calon muda PH mahu buktikan kemampuan sendiri

Lima kali bapanya mencuba, lima kali juga tewas. Kini, anaknya yang berusia 25 tahun pula tampil mencabar kubu kuat Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi.

Namun, graduan Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah enggan dianggap sekadar menumpang nama dan perjuangan keluarga.

Itulah cabaran yang menanti calon muda Pakatan Harapan (PH), Mukhlis Mubin apabila meneruskan perjuangan bapanya, Julasapiyah Kassim, yang gagal menawan kerusi DUN itu dalam lima pilihan raya sejak 1999.

Calon dari Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan sedar sejarah kekalahan bapanya bakal menjadi perhatian.

Namun, beliau bertekad membuktikan bahawa kepercayaan rakyat bukan sesuatu yang boleh diwarisi, sebaliknya perlu diraih menerusi kemampuan sendiri.

Ketua Mahasiswa AMANAH Nasional berkenaan mengakui bukan mudah untuk menembusi kubu tradisi Umno, apatah lagi membawa harapan baharu di kawasan yang sekian lama menjadi medan perjuangan bapanya.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat kekalahan tersebut sebagai kegagalan, sebaliknya pengajaran bahawa perjuangan politik memerlukan kesabaran, ketekunan dan semangat tidak mudah menyerah kalah.

“Usaha membantu rakyat tidak seharusnya terhenti hanya kerana tidak memenangi pilihan raya.

“Kalah dalam pilihan raya bukan bermakna kita gagal berkhidmat tetapi berhenti berkhidmat hanya kerana kalah, itulah kegagalan sebenar,” katanya.

Kemampuan memimpin

Pada masa sama, Mukhlis mahu pencalonannya membawa mesej lebih besar bahawa golongan muda perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan memimpin, bukannya sekadar dianggap sebagai pelapis yang perlu menunggu giliran.

“Jika kita masih terperangkap dengan pemikiran bahawa pemuda hanya pemimpin masa hadapan, sampai bila-bila pun medan politik negara akan tertutup buat golongan muda,” tegasnya.

Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Melaka itu berpendapat generasi muda perlu diberikan ruang untuk mengetengahkan idea dan pendekatan baharu, sekali gus menyumbang kepada pembaharuan landskap politik negara.

Mukhlis yang juga Juara Pidato Antarabangsa Education Malaysia Jordan 2025 menyifatkan peluang bertanding sebagai amanah besar, khususnya untuk membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab kepimpinan.

Kini, Kuala Linggi menjadi medan ujian buat Mukhlis untuk berdepan dua cabaran serentak, iaitu mencabar penguasaan Umno dan membina identiti politik sendiri tanpa terus dibayangi nama bapanya.

BACA JUGA Kenali 5 calon AMANAH bagi PRN Melaka 2026