ANALISIS │SG4 sasar KDNK RM723 bilon, tetapi prestasi empat negeri belum cecah pertumbuhan 7 peratus

TEAM EDITORIAL

Gabungan empat negeri SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis meletakkan sasaran besar untuk meningkatkan ekonomi mereka kepada RM723.75 bilion menjelang 2050. Namun, berdasarkan prestasi ekonomi terkini, timbul persoalan sama ada sasaran itu benar-benar mampu dicapai kerana pertumbuhan ekonomi keempat-empat negeri berkenaan masih jauh daripada kadar tujuh peratus setahun yang diperlukan.

Pengerusi SG4 Group Sdn Bhd, Dr Haim Hilman Abdullah ketika Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 semalam berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan andaian ekonomi empat negeri itu mampu berkembang tujuh peratus setiap tahun selama 25 tahun. 

Menurut beliau, sasaran itu boleh dicapai melalui pelaburan berterusan, penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti dan pembangunan ekonomi yang lebih berkesan.

Bagaimanapun, angka rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025 menunjukkan tiada satu pun negeri SG4 berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi tujuh peratus. 

Kedah dan Kelantan masing-masing berkembang 4.1 peratus, Perlis hanya dua peratus, manakala Terengganu paling rendah dengan pertumbuhan 1.6 peratus. Angka ini menunjukkan masih terdapat jurang besar antara prestasi ekonomi sebenar dengan sasaran yang diumumkan SG4.

Jika dilihat dari segi saiz ekonomi pula, Kedah mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM56.3 bilion, Terengganu RM40.6 bilion, Kelantan RM29.8 bilion dan Perlis RM6.7 bilion. 

Jumlah keseluruhan ekonomi empat negeri itu sekitar RM133.4 bilion dengan pertumbuhan gabungan dianggarkan hanya 3.2 peratus pada 2025. Sebagai perbandingan, ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada tahun sama, lebih tinggi daripada pencapaian SG4.

Persoalannya, bagaimana ekonomi yang kini bernilai sekitar RM133 bilion mahu melonjak kepada lebih RM723 bilion dalam tempoh 25 tahun? Memang benar, pengiraan matematik menunjukkan angka itu boleh dicapai sekiranya ekonomi berkembang tujuh peratus setiap tahun. Namun, jika pertumbuhan kekal sekitar 3.2 peratus, ekonomi SG4 hanya akan mencecah kira-kira RM293 bilion pada 2050. Malah, pada kadar lima peratus setahun sekalipun, nilainya dianggarkan sekitar RM452 bilion sahaja.

Ini bermakna SG4 perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi setiap negeri, bukannya sekadar menetapkan sasaran yang tinggi. Lebih mencabar, pertumbuhan tujuh peratus itu perlu dikekalkan setiap tahun sehingga 2050, bukan hanya dicapai sekali-sekala. 

Jika mahu merealisasikannya, empat negeri tersebut memerlukan lebih banyak industri, pelaburan yang benar-benar dilaksanakan serta peluang pekerjaan yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat.

Kedah dilihat mempunyai kelebihan berbanding tiga negeri lain kerana sudah memiliki kawasan perindustrian berteknologi tinggi seperti Kulim Hi-Tech Park. Industri elektrik, elektronik dan pembuatan turut membantu perkembangan ekonominya. 

Bagaimanapun, meskipun sektor pembuatan Kedah berkembang lima peratus pada 2025, pertumbuhan keseluruhan ekonominya masih 4.1 peratus. Ini menunjukkan kekuatan industri sedia ada belum cukup untuk membawa ekonomi negeri tersebut mencapai sasaran tujuh peratus.

Terengganu hanya 1.6 peratus

Keadaan di Terengganu pula lebih membimbangkan apabila ekonomi negeri itu hanya berkembang 1.6 peratus pada 2025, berbanding 4.5 peratus pada tahun sebelumnya. Sektor pembuatan Terengganu turut menguncup 1.2 peratus, manakala sektor pembinaan merosot 5.8 peratus. 

Dengan keadaan beberapa sektor penting masih mengalami kemerosotan, persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana negeri berkenaan mahu melonjakkan pertumbuhan ekonomi kepada tujuh peratus dan mengekalkannya untuk tempoh panjang.

Kelantan pula mencatat pertumbuhan ekonomi 4.1 peratus dengan KDNK berjumlah RM29.8 bilion. Walaupun sektor pembuatannya berkembang 9.3 peratus, ekonomi negeri itu masih banyak bergantung kepada sektor perkhidmatan yang menyumbang hampir 72 peratus. 

Kelantan perlu memperluaskan kegiatan industri, menarik lebih banyak pelaburan dan menyediakan pekerjaan bergaji lebih tinggi jika mahu meningkatkan nilai ekonominya dengan lebih cepat.

Perlis juga berdepan cabaran besar kerana mempunyai ekonomi paling kecil dalam SG4, iaitu hanya RM6.7 bilion dengan pertumbuhan dua peratus pada 2025. Lebih membimbangkan, sektor pertanian negeri itu menguncup 1.9 peratus, manakala pembinaan merosot 8.2 peratus. Dengan saiz ekonomi yang kecil serta beberapa sektor utama mencatat kemerosotan, Perlis memerlukan pelaburan dan kegiatan ekonomi baharu untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi.

Dalam usaha menunjukkan potensi SG4, Haim Hilman turut mengumumkan bahawa empat negeri berkenaan menerima kelulusan pelaburan sebanyak RM220.43 bilion antara 2020 hingga 2025. 

Daripada jumlah itu, RM198.37 bilion melibatkan sektor pembuatan dengan potensi mewujudkan 76,306 peluang pekerjaan. 

Bagaimanapun, rakyat perlu memahami bahawa pelaburan yang diluluskan tidak bermakna semua wang tersebut sudah dibelanjakan atau semua projek telah dibina. Begitu juga peluang pekerjaan yang diumumkan belum tentu semuanya sudah diwujudkan.

Malah, data pelaburan di portal rasmi SG4 bagi tempoh 2021 hingga 2025 menunjukkan sebahagian besar pelaburan sebenarnya tertumpu di Kedah. Daripada jumlah sekitar RM209.3 bilion yang diluluskan dalam tempoh itu, Kedah menerima RM183.7 bilion atau hampir 88 peratus.

Terengganu pula menerima RM16.6 bilion, Kelantan RM8.1 bilion dan Perlis hanya RM900 juta. Perbezaan yang terlalu besar ini menimbulkan persoalan sama ada pembangunan ekonomi SG4 benar-benar bergerak secara seimbang antara empat negeri.

Sekiranya hampir semua pelaburan besar tertumpu di Kedah, bagaimanakah Kelantan, Terengganu dan Perlis mahu berkembang pada kadar yang sama? Kejayaan kawasan industri Kulim menarik pelabur tidak bermakna negeri lain akan terus menikmati manfaatnya. 

Tidak dilandasan

SG4 perlu menunjukkan rancangan yang jelas untuk membawa lebih banyak industri dan pekerjaan ke tiga negeri berkenaan. Jika tidak, gabungan itu mungkin terus bergantung kepada kekuatan ekonomi Kedah untuk mencapai sasaran keseluruhannya.

Selain pelaburan, SG4 turut mengetengahkan jumlah 131,600 graduan yang dihasilkan antara 2021 hingga 2024 sebagai bukti kekuatan tenaga kerja. Namun, memiliki ramai graduan tidak semestinya bermakna peluang pekerjaan berkualiti juga banyak.

Sebagai gambaran, KDNK per kapita Kelantan pada 2025 hanya RM18,093, Perlis RM25,151, Kedah RM28,549 dan Terengganu RM32,685, berbanding purata Malaysia RM59,186. Walaupun angka KDNK per kapita bukan ukuran gaji rakyat, ia menunjukkan jurang nilai pengeluaran ekonomi antara negeri SG4 dengan purata negara masih besar.

Oleh itu, sebelum bercakap tentang sasaran RM723 bilion pada 2050, SG4 perlu menjelaskan terlebih dahulu apa yang mahu dicapai dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Berapa banyak kilang baharu akan dibina? Berapa banyak pekerjaan bergaji tinggi dapat diwujudkan? Berapa banyak projek pelaburan yang sudah diluluskan benar-benar mula beroperasi? 

Begitu juga soal kemudahan asas, pengangkutan, bekalan air dan pembangunan industri yang perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih banyak pelabur. Kemajuan tersebut perlu dibuktikan melalui hasil sebenar, bukan sekadar pengumuman.

Kesimpulannya, sasaran ekonomi RM723.75 bilion menjelang 2050 bukan sesuatu yang mustahil, tetapi angka pertumbuhan semasa belum menunjukkan SG4 berada pada landasan untuk mencapainya. 

Dengan pertumbuhan empat negeri yang masih sekitar 1.6 hingga 4.1 peratus serta pelaburan yang banyak tertumpu di Kedah, perjalanan menuju sasaran tujuh peratus masih panjang. 

SG4 mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan, namun rakyat berhak menilai kejayaan berdasarkan peningkatan ekonomi, peluang pekerjaan, pendapatan dan pembangunan yang benar-benar dapat dirasai, bukan semata-mata angka besar yang dijanjikan untuk 24 tahun akan datang.

BACA JUGA Pas enggan lepas Parlimen Jasin, Akmal terpaksa kekal di Merlimau?