‘Zalim’ sangat kerajaan MADANI, peruntukan negeri pembangkang naik RM2.2 bilion!

“Zalim apa ini?” Demikian sindiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab persoalan mengenai dakwaan kerajaan MADANI meminggirkan kawasan pembangkang dalam pengagihan peruntukan pembangunan, dengan memberikan contoh peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Terengganu daripada RM6 bilion pada 2022 kepada RM8.2 bilion bagi 2027.

Perdana Menteri berkata peningkatan itu menunjukkan negeri yang ditadbir pembangkang tidak diketepikan dalam agenda pembangunan kerajaan, meskipun timbul pertikaian mengenai kaedah penyaluran dana kepada wakil rakyat.

“Ini diskriminasi apa? Apa yang banyak disebut Yang Berhormat zalim. Zalim apa ini?” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata peruntukan pembangunan kepada Terengganu meningkat daripada RM6 bilion pada 2022 kepada RM8.2 bilion bagi 2027, sambil menegaskan bahawa kerajaan tetap meluluskan pelbagai projek untuk manfaat penduduk negeri berkenaan.

“Sebab itu saya selalu suka bandingkan dengan 2022 kerana peningkatan itu besar, daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion. Ini diskriminasi apa?” katanya.

Beliau turut menyebut projek membaik pulih sekolah daif, sekolah agama, jalan kecil dan masjid sebagai antara pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun, isu yang dibangkitkan Che Mohamad Zulkifly bukan semata-mata mengenai jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan kepada negeri atau kawasan Parlimen, sebaliknya berkaitan mekanisme penyaluran dana kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Besut itu mempersoalkan sama ada kerajaan bercadang menggubal akta bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya atau CDF diberikan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti, selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata kerajaan menyatakan peruntukan RM2 juta setahun disediakan bagi setiap kawasan Parlimen, termasuk kawasan yang diwakili pembangkang. Namun, bagi kawasan bukan kerajaan, peruntukan itu dikendalikan secara langsung oleh kerajaan melalui mekanisme pelaksanaan yang ditetapkan.

Keadaan itu, menurutnya, menimbulkan persoalan mengenai janji manifesto PH untuk memberikan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat yang dipilih rakyat.

Peruntukan kawasan berbeza daripada dana kepada Ahli Parlimen

Menjawab isu berkenaan, Anwar menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan bagi sesuatu kawasan Parlimen tidak semestinya disalurkan terus kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Sebaliknya, pelaksanaan projek boleh melibatkan kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan pejabat daerah berdasarkan keperluan serta keutamaan pembangunan.

Anwar berkata isu yang dibangkitkan ialah kaedah penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen, bukannya ketiadaan peruntukan untuk projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyaluran peruntukan secara langsung kepada Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dilaksanakan melalui persetujuan menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

Perbezaan itu penting kerana peruntukan pembangunan kawasan merujuk kepada dana untuk projek dan kemudahan awam, manakala peruntukan kepada Ahli Parlimen melibatkan mekanisme yang membolehkan wakil rakyat memainkan peranan dalam mengenal pasti keperluan penduduk serta mengemukakan cadangan pembangunan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Justeru, peningkatan peruntukan pembangunan kepada Terengganu tidak dengan sendirinya menjawab persoalan sama ada Ahli Parlimen pembangkang mendapat akses langsung kepada dana CDF yang setara dengan wakil rakyat kerajaan.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan menentukan keutamaan projek melalui libat urus dengan kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan pejabat daerah, selain mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan serta kepentingan rakyat setempat.

BACA JUGA https://harapandaily.com/2026/10/27/kerajaan-madani-kerajaan-menjaga-pesawah-melayu-zamir/