Jangan pandang rendah peluang PH di Melaka, Fuziah tolak ramalan menang tipis
Terlalu awal untuk meramalkan kegagalan PKR dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka, kata Fuziah Salleh.
Beliau berkata, ramalan politik tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar rakyat pada pilihan raya, justeru kemampuan PKR dan PH untuk mencabar kedudukan sedia ada tidak wajar dipandang rendah.
“Saya menghormati pandangan penganalisis politik, tetapi saya berpandangan terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang PKR dan Pakatan Harapan di Melaka adalah tipis,” katanya.
Menurut beliau, sejarah politik negara telah berkali-kali membuktikan bahawa percaturan dan ramalan politik tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar rakyat.
Fuziah berkata, sejak pengumuman calon, beliau telah turun melawat dan membantu persiapan jentera di kesemua sembilan Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR.
Beliau berkata, lawatan itu membolehkannya melihat sendiri kesungguhan, disiplin dan komitmen jentera yang sedang bekerja keras bagi memastikan setiap kawasan diberikan perhatian sewajarnya.
“PKR tidak turun ke Melaka sekadar untuk melengkapkan jumlah calon atau menjadi pelengkap pertandingan. Kita turun untuk bersaing secara serius, menawarkan pilihan kepada rakyat dan berusaha memenangi kepercayaan pengundi.
“PKR juga tampil dengan calon-calon muda yang membawa kesegaran idea, perspektif baharu dan kesediaan untuk mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih dinamik.
“Inilah nilai ingin diketengahkan parti iaitu calon yang bukan sahaja berani membawa perubahan tetapi mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk bekerja demi kepentingan rakyat,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Fuziah berkata, perkembangan politik semasa perlu dinilai secara menyeluruh kerana rakyat turut mengambil kira prestasi, kestabilan dan kemampuan pihak yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir.
Beliau mengakui cabaran yang dihadapi PKR dan PH di Melaka adalah besar, namun menegaskan bahawa peluang mereka untuk mencabar kedudukan sedia ada tidak seharusnya ditolak terlalu awal.
“Kita sedar cabarannya besar dan tidak pernah menganggap kemenangan itu mudah. Tetapi jangan terlalu cepat menolak kemampuan PKR dan Pakatan Harapan untuk mencabar kedudukan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, keputusan pilihan raya akhirnya bergantung pada kemampuan parti meyakinkan rakyat, bukannya ramalan yang dibuat sebelum pengundian.