Bekas anggota polis pula muncul mahukan keadilan lepas didakwa dipukul Shuhaily sedekad lalu

Ketika Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (APKS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berdepan pertuduhan mencederakan dua anggota polis bulan lalu, muncul pula satu lagi dakwaan bahawa beliau pernah mengasari seorang bekas anggota berpangkat rendah di Hilir Perak, 11 tahun lalu.

Perkara itu terdedah selepas bekas anggota berkenaan melalui peguamnya memohon campur tangan Peguam Negara bagi membuka semula siasatan kes pukul membabitkan Shuhaily.

Ketika itu Mohd Shuhaily merupakan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.

Menurut peguam Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin, laporan polis pernah dibuat anak guam mereka iaitu Saifuddin Abdul Kader pada 19 November 2015, namun tiada sebarang tindakan yang diambil. 

Sebaliknya Saifuddin yang juga anggota polis pangkat rendah pada ketika itu, akhirnya berdepan pelbagai kesukaran dalam kerjayanya sehingga diberhentikan daripada pasukan keselamatan itu selepas membuat laporan terhadap Shuhaily.

Berdasarkan laporan polis itu, Saifuddin mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 17 November 2015 ketika dia sedang bertugas menjaga pos pengawal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak

Dia mendakwa Mohd Shuhaily menegurnya kerana gagal memberikan tabik hormat sebelum memarahinya berulang kali di hadapan anggota polis yang lain.

Saifuddin turut mendakwa Mohd Shuhaily menumbuk pergelangan tangan kirinya sebanyak sekali dalam pertikaian itu, selain mengugut untuk menukarkannya ke Sabah atau Sarawak serta mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya.

Peguam terbabit menyatakan anak guam mereka percaya ini adalah peluang untuk menuntut keadilan, susulan keputusan Peguam Negara mendakwa Mohd Shuhaily dalam kes berasingan di KLIA baru-baru ini.

“Selepas melihat prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi ditunjukkan Peguam Negara dalam membawa pertuduhan terhadap Shuhaily, Saifuddin percaya dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran semasa.

“Kami dengan penuh hormat memohon kes ini disemak dan dipertimbangkan semula bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus ditegakkan tanpa diskriminasi,” menurut kenyataan itu memetik BH.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan dua anggota polis di KLIA pada 28 September.