Profil pergerakan, data lokasi berisiko bertukar jadi maklumat risikan strategik

Pengumpulan data lokasi secara berterusan menerusi aplikasi navigasi asing bukan sekadar mendedahkan rutin harian pengguna, malah berisiko diproses menjadi “risikan strategik” yang mampu menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Pakar Keselamatan Siber yang juga mantan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata aplikasi navigasi lazimnya mengumpul pelbagai data, termasuk sejarah perjalanan, cap masa, alamat IP, data sensor peranti serta destinasi yang kerap dikunjungi.

Beliau berkata walaupun setiap rekod secara individu mungkin kelihatan tidak sensitif, pengumpulan secara berterusan akan membentuk profil pergerakan digital atau corak berskala yang mendedahkan maklumat pengguna, lokasi kediaman, tempat kerja dan masa pergerakan.

“Di sinilah konsep pengumpulan dan inferens data menjadi sangat penting. Sebagai contoh, pergerakan konsisten seorang pegawai kanan kerajaan dari rumah ke kementerian, lokasi mesyuarat keselamatan dan lapangan terbang boleh memberikan gambaran mengenai peranan, hubungan profesional serta keutamaan operasi individu berkenaan.

“Risiko menjadi lebih sensitif apabila data lokasi ini digabungkan dengan data terbuka seperti jawatan dan organisasi,” katanya kepada Bernama.

Amirudin berkata melalui analitik moden dan kecerdasan buatan (AI), data lokasi biasa boleh berubah menjadi data risikan, sekali gus mendedahkan kekerapan pertemuan atau waktu masuk dan keluar penjawat awam dari sesebuah kemudahan sensitif.

Beliau ketika mengulas isu kedaulatan digital berkait undang-undang entiti asing yang mengawal aplikasi Waze berkata ia bukan bermaksud Malaysia perlu menolak semua teknologi luar, sebaliknya kerajaan perlu menyedari secara jelas pihak yang mengawal data, lokasi pemprosesan dan bidang kuasa perundangan yang tertakluk.

Meskipun menyifatkan larangan penggunaan Waze bagi urusan rasmi penjawat awam sebagai langkah pencegahan munasabah, Amirudin menegaskan ia perlu disokong dengan penilaian risiko yang telus dan penyediaan alternatif tempatan yang benar-benar matang.

“Pendekatan yang tepat adalah kedaulatan digital melalui penilaian risiko, bukan sekadar mengharamkan aplikasi berasaskan siapa pemiliknya semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Pakar Transformasi Digital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Nurhizam Safie berkata dari sudut taktikal perang dan geopolitik serantau, wujud potensi ancaman apabila jalan-jalan terpencil dan strategik dipetakan hasil daripada data penyumberan ramai pengguna navigasi asing. 

Nurhizam berkata jika berlaku konflik, data pemetaan berharga yang berada di tangan entiti asing berupaya digunakan bagi perancangan taktikal pencerobohan tanpa disedari. 

Bagi mengatasi kelompangan itu dan mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia perkhidmatan luar, beliau mengesyorkan agar kerajaan memperkasakan kerjasama strategik dengan agensi teknikal tempatan, khususnya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

“JUPEM mempunyai pangkalan data pemetaan dan geospatial negara yang sangat lengkap. Usaha pemerkasaan aplikasi alternatif tempatan wajar menjalinkan kerjasama rapat dengan mereka. 

“Melalui inisiatif seperti GovTech di bawah Jabatan Digital Negara, kita boleh memanfaatkan data pemetaan JUPEM dan infrastruktur satelit sendiri untuk membangunkan perisian aplikasi yang benar-benar berdaulat dan kekal di bawah pengawasan kerajaan,” katanya. 

Selain itu, Nurhizam berkata kerajaan juga perlu memaksimumkan penggunaan kemudahan sedia ada seperti Pusat Data Sektor Awam (PDSA) di Putrajaya untuk menempatkan pemprosesan data secara dalaman. 

Beliau berkata langkah itu berupaya memastikan data pengguna aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu tidak dipindahkan, disimpan atau dikawal oleh pihak ketiga berikutan penggunaan pelayan pangkalan data di luar negara. 

“Bagi memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh, peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) juga wajar diteliti dan diperketatkan, khususnya mengenai peraturan lokalisasi data dan prosedur pemindahan data rentas sempadan. 

“Kita tidak mempunyai pilihan selain meletakkan kepercayaan kepada bakat tempatan untuk membangunkan perisian, perkakasan dan sistem pelayan negara secara mandiri bagi memastikan matlamat kedaulatan digital menjelang 2030 benar-benar tercapai,” katanya.