NADI mudahkan urusan rakyat dapatkan maklumat bantuan kerajaan, kemaskini MyDigital ID
Akses kepada maklumat dan kemudahan digital penting bagi memastikan masyarakat dapat mengikuti perkembangan inisiatif kerajaan serta menguruskan urusan berkaitan bantuan dengan lebih mudah.
Dalam usaha itu, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berperanan sebagai pusat rujukan komuniti yang membantu orang ramai mendapatkan maklumat dan bimbingan untuk mengakses perkhidmatan digital, termasuk urusan berkaitan bantuan kerajaan.
Peranan itu turut dilaksanakan NADI Bota, Perak, menerusi pembukaan reruai di pelbagai acara termasuk program di sekolah bagi memberikan maklumat mengenai inisiatif seperti BUDI MADANI dan MyDigital ID.
Pengurus NADI Bota, Alia Aznan, berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kemudahan seperti BUDI MADANI dan MyDigital ID, termasuk bantuan untuk melakukan pendaftaran serta mengemas kini maklumat berkaitan.
Beliau berkata, pasukan NADI Bota turut menggunakan tablet yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu orang ramai membuat pendaftaran MyDigital ID.
Menurutnya, beliau bersama penolong pengurus, Sazlin Kusai, turut memberikan bimbingan kepada pengunjung yang memerlukan bantuan untuk menggunakan kemudahan digital berkenaan.
Selain penganjuran reruai, penduduk setempat juga boleh hadir terus ke NADI Bota untuk mendapatkan bantuan mengemas kini maklumat serta membuat semakan berkaitan bantuan kerajaan.
Antara perkara yang sering ditanyakan penduduk ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), BUDI MADANI dan MyDigital ID.
Alia berkata, petugas NADI akan membimbing pengunjung menggunakan komputer yang disediakan, termasuk menunjukkan langkah-langkah yang diperlukan bagi membantu mereka melaksanakan urusan berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan pengunjung yang mendapatkan bantuan itu berusia sekitar 40-an dan ada dalam kalangan mereka yang masih kurang memahami cara mengemas kini maklumat secara dalam talian.
Selain mendapatkan bantuan teknikal, terdapat juga penduduk yang hadir untuk bertanya bagi memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Dalam penganjuran reruai, NADI Bota turut bekerjasama dengan rangkaian NADI Kluster Perak Tengah yang merangkumi NADI Parit, NADI Seri Iskandar, NADI Kampung Gajah, NADI Kampung Makmur Sungai Galah dan NADI Air Kuning.
Kerjasama itu membabitkan penglibatan pusat-pusat NADI berkenaan dalam aktiviti penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui reruai di pelbagai acara.