Mufti Wilayah tegur guru Kafa yang mengeluh elaun rendah, jangan rasa dizalimi
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil menegur sikap sebahagian guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kadar elaun diterima sehingga menganggap keadaan itu sebagai satu bentuk penganiayaan.
Beliau mengingatkan bahawa bayaran diberikan kerajaan kepada guru KAFA sebenarnya berbentuk elaun bagi membantu menampung kehidupan mereka, bukannya gaji untuk pekerjaan tetap seperti yang mungkin difahami sesetengah pihak.
Menurutnya, kefahaman mengenai kedudukan sebenar elaun tersebut penting supaya guru KAFA tidak mudah beranggapan bahawa mereka dizalimi hanya kerana jumlah bayaran diterima dianggap rendah.
“Saya melihat sebahagian guru agama tidak berpuas hati dengan ganjaran KAFA yang dikatakan rendah.
“Sebenarnya pemberian kepada guru KAFA adalah bersifat elaun dan untuk membantu guru-guru KAFA melengkapkan kehidupan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Kelebihan tersendiri
Ahmad Fauwaz menjelaskan bahawa guru KAFA sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri kerana tidak terikat sebagai kakitangan tetap, sekali gus membolehkan mereka melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk menambah pendapatan.
Antara peluang yang boleh dimanfaatkan termasuk menjadi imam, bilal, mengajar al-Quran serta melaksanakan tugas berkaitan agama yang turut menawarkan bayaran tambahan.
“Guru KAFA sangat istimewa, mereka boleh banyak melakukan kerja kerana tidak terikat sebagai staf tetap.
“Mereka boleh menjadi imam, bilal, mengajar al-Quran dan banyak lagi kerja untuk menambahkan pendapatan mereka,” jelasnya.
Ahmad Fauwaz turut berkongsi pengalaman peribadinya yang pernah berkhidmat sebagai guru takmir, iaitu tugas yang menurut beliau hampir sama dengan peranan guru KAFA.
Justeru, beliau memahami keadaan tersebut dan berpandangan bahawa bayaran berkenaan perlu dilihat sebagai bantuan kerajaan untuk menambah pendapatan, bukannya pekerjaan tetap yang menjamin gaji bulanan seperti kakitangan awam.
“Saya juga dahulu guru takmir yang hampir sama tugasnya dengan guru KAFA.
“Saya faham ia adalah bantuan kerajaan untuk menambahkan pendapatan kita, bukan ia satu pekerjaan tetap,” katanya.
Tambahan
Bagaimanapun, beliau tidak menolak hasrat guru KAFA untuk memperoleh kadar elaun lebih tinggi, namun mengingatkan mereka supaya tidak terus menganggap keadaan semasa sebagai satu bentuk penganiayaan.
“Kita boleh mengharapkan elaun yang tinggi namun kita tidak boleh terasa teraniaya kerana kadang-kadang masjid pun bagi tambahan duit ketika mengajar,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fauwaz menasihatkan sebahagian guru KAFA supaya memahami realiti dan keadaan sebenar sebelum membuat penilaian terhadap kadar elaun serta peluang pendapatan yang tersedia kepada mereka.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan elaun asas RM1,100 sebulan kepada guru KAFA, manakala sesetengah kerajaan negeri turut menyediakan bayaran tambahan mengikut kemampuan dan dasar masing-masing.
Pada Disember 2025, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan bahawa guru KAFA berstatus lantikan bertempoh dan bukannya kakitangan tetap di bawah kontrak perkhidmatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti penambahbaikan skim perjawatan melibatkan kira-kira 36,500 guru KAFA, termasuk menerusi program rintis KAFA Perdana yang bertujuan mewujudkan struktur perkhidmatan lebih teratur.
Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan beberapa kemudahan kebajikan kepada guru KAFA, termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta bantuan kewangan khas.
BACA JUGA Dulu bebas, kini bersalah! Chegubard dihukum penjara 4 bulan kes fitnah Agong