RM13 bilion untuk bayar hutang 1MDB, berapa banyak sekolah dan hospital rakyat terpaksa tunggu?
Sebanyak RM13 bilion yang sepatutnya berpotensi membiayai pelbagai projek pembangunan negara terpaksa digunakan pada 2023 untuk melunaskan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$3 bilion, sekali gus mengecilkan ruang fiskal kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jumlah itu bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negara sebanyak RM99 bilion bagi tahun berkenaan.
Menurutnya, dana berkenaan berpotensi digunakan untuk membiayai keperluan asas rakyat sekiranya kerajaan tidak perlu memenuhi komitmen kewangan berkaitan 1MDB itu.
“Sekiranya peruntukan itu tidak diperlukan untuk menyelesaikan komitmen 1MDB, dana berkenaan berpotensi digunakan bagi membiayai keperluan rakyat seperti sekolah, hospital, jalan raya, bekalan air luar bandar dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata kerajaan telah membelanjakan RM18.7 bilion daripada peruntukan belanja mengurus dan pembangunan yang diluluskan menerusi belanjawan tahunan sejak 2017 bagi memenuhi obligasi kewangan berkaitan 1MDB.
Katanya, setakat 31 Ogos 2026, jumlah yang telah dibayar kerajaan bagi menyelesaikan hutang dan komitmen syarikat itu mencecah RM42.5 bilion, merangkumi bayaran prinsipal, faedah serta kos berkaitan.
Angka itu menunjukkan beban kewangan berkaitan 1MDB masih perlu ditangani kerajaan walaupun sebahagian besar obligasi terdahulu telah dibayar.
Dalam usaha mengelakkan skandal kewangan seumpama itu berulang, kerajaan turut melaksanakan beberapa pembaharuan dalam pengurusan kewangan awam, termasuk penguatkuasaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957.
Pembaharuan itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan pengawasan terhadap penggunaan wang awam.
Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan kerajaan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam skandal 1MDB.
Menurutnya, beberapa kes berkaitan telah membawa kepada pertuduhan dan sabitan, manakala prosiding lain masih berjalan.
Usaha berterusan itu penting bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, selain membolehkan kerajaan meneruskan langkah mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB.
BACA JUGA Pemilik diesel kini boleh pindah kelayakan kepada individu lain