Lelaki sebar fitnah isu kuota BUDI95 minta maaf lepas tersalah baca tajuk berita
Gara-gara tidak membaca laporan dengan teliti, seorang lelaki mengakui tersalah faham dalam isu kuota BUDI95 sehingga menyebarkan dakwaan kononnya had subsidi petrol itu sekali lagi dikurangkan kepada 200 liter.
Individu menggunakan akaun Threads sabri__mamat itu membuat permohonan maaf selepas menyedari soalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat sebenarnya berkaitan justifikasi keputusan kerajaan menurunkan kuota kepada 200 liter sebelum ini, bukannya pengumuman baharu mengenai pengurangan kuota berkenaan.
Individu itu berkata, kekeliruan berlaku selepas membaca tajuk berita di Facebook Astro Awani sebelum merujuk semula soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
“Permohonan maaf. Rupanya tak Betul kuota Budi MADANI diturunkan kepada 200 liter. Saya keliru baca tajuk di Facebook Astro Awani.
“Bila Saya rujukan semula soalan daripada Permatang Pauh, rupanya soalan beliau berkait justifikasi keputusan kerajaan yang pernah turunkan kuota sebelum ini kepada 200 liter.
“Mohon maaf kerana cetuskan kebimbangan kepada tuan-tuan. Saya dah turunkan hantaran berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, permohonan maaf itu tidak menghalang pengguna media sosial daripada mengecam tindakannya yang menyebarkan maklumat tanpa memahami konteks sebenar laporan berkenaan.
Pengguna media sosial mempersoalkan sama ada permohonan maaf mampu menghentikan fitnah yang sudah dikongsikan kepada orang ramai.
“Mulakan fitnah – Fitnah dah disebarkan – Pemula fitnah mengakui itu adalah fitnah – Pemula fitnah minta maaf. Tapi adakah fitnah yang dah disebarkan tu akan terus berhenti bila pemula dah minta maaf? Tidak,” tulisnya.
Pengguna lain, shafiqamrn, turut mengkritik tindakan lelaki itu dan memintanya mengambil tanggungjawab terhadap maklumat yang sudah disebarkan.
“Dah sebar fitnah minta maaf. Kau pergi tarik balik semua fitnah-fitnah kau yang orang dah share,” katanya.
Sementara itu, pengguna ami3_my mengingatkan lelaki berkenaan supaya menyemak maklumat terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.
“islam ajar semak dulu. Kau ikut ajaran mana sebar dulu baru semak?” tulisnya.
Kecaman turut disuarakan pengguna aafiqshah yang menyindir tindakan menyebarkan fitnah sebelum memohon maaf selepas menyedari kesilapan.
“Sebar fitnah lepas tu mohon maaf… hidup Melayu Islam,” tulisnya.
Isu itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai sikap terburu-buru berkongsi maklumat tanpa menyemak kandungan laporan secara menyeluruh.
Walaupun lelaki terbabit mengakui kesilapannya dan memaklumkan hantaran berkenaan sudah diturunkan, pengguna media sosial tetap mempersoalkan tanggungjawab penyebar maklumat terhadap fitnah yang terlanjur dikongsikan.
Sementara itu Astro AWANI menjelaskan terdapat ralat dalam laporan berkaitan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat berhubung BUDI95.
Menurut portal tersebut, laporan berkenaan mungkin telah memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengumumkan pelarasan baharu had kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Namun jelasnya, kenyataan menteri sebenarnya merujuk kepada justifikasi langkah kerajaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.