Anwar libatkan ulama rangka Belanjawan, masih dituduh ‘munafik’
Pandangan ulama dan guru agama turut diambil kira dalam merangka Belanjawan 2027 bagi memastikan pembangunan Islam, termasuk pengukuhan institusi pengajian pondok di seluruh negara, diberikan perhatian sewajarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan membina semula institusi pengajian Islam yang menurutnya pernah diketepikan, selain memberi ruang kepada golongan agamawan menyumbang pandangan dalam penggubalan dasar negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu perlu difahami sebelum segelintir pihak melabel beliau dan Belanjawan 2027 yang dibentangkan Kerajaan MADANI sebagai “munafik”.
“Dulu kita ketepikan syeikh-syeikh dan guru-guru agama serta tuan-tuan guru, (sekarang) kita panggil, minta pandangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Majlis itu menampilkan pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Dr Abdul Somad Batubara, sebagai tetamu.
Anwar berkata kerajaan turut meneliti langkah yang boleh diambil untuk memperkukuh kedudukan Islam menerusi belanjawan negara, termasuk usaha menghidupkan semula institusi pondok dan pesantren.
“Nak lakar Belanjawan 2027, ditanya apakah yang lebih baik untuk Islam, apa lagi nak tambah? Dahulu kita tinggalkan institusi pondok dan pesantren (kini) kita bina semula,” katanya.
Mengulas penggunaan perkataan “munafik” terhadap dirinya dan belanjawan kerajaan, Anwar mengakui sedikit kecewa, namun memilih untuk bersabar dan tidak membalas tuduhan berkenaan ketika ia dibangkitkan di Parlimen.
Beliau berkata isu itu menggambarkan masalah lebih besar apabila individu yang mengaku memperjuangkan Islam, menurut pandangannya, tidak semestinya menunjukkan nilai akhlak dan peribadi yang baik dalam perbezaan pendapat.
“Bila dibahas di Parlimen, dia kata ini pemimpin munafik dan belanjawannya munafik. Ustaz Abdul Somad kalau saya tanya dia, ‘Sabar, Pak.’ Hati menggelegak tetapi sebenarnya saya sabar, saya tak jawab,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan akhlak, kesederhanaan dan toleransi sebagai nilai yang perlu dicerminkan oleh mereka yang membawa nama Islam.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengarahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menarik balik perkataan “munafik” yang digunakannya ketika perbahasan di Dewan Rakyat.
Terima teguran Abdul Somad
Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Somad kerana sudi berkongsi ilmu pada Majlis Ilmu MADANI.
Beliau berkata teguran pendakwah itu, termasuk yang disampaikan secara tegas dan tajam, perlu diberikan perhatian bagi membantu memperbaiki pentadbiran serta menjadikan Malaysia lebih baik.
“Ustaz Abdul Somad sekarang ini memang seorang tokoh, tetapi juga dalam beberapa hal kontroversial kerana tegurannya itu berani dan kadang-kadang tajam.
“Tajamnya itu sampai ke semua penguasa termasuk di Malaysia, tetapi dalam pengalaman kita mengenai soal tatakelola dan tatacara ini, terima baik teguran-teguran dan kita cuba perbaiki,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; serta Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.- BERNAMA.