Ribuan pelajar, masyarakat sivil merusuh bantah Prabowo isu kebakaran hutan terburuk dalam 11 tahun

Jalanan di beberapa bandar di Indonesia menjadi lokasi demonstrasi besar-besaran apabila ribuan pelajar dan kumpulan masyarakat sivil bangkit membantah dasar Presiden Prabowo Subianto, termasuk berhubung isu kebakaran hutan yang berlarutan berbulan-bulan.

Di Jakarta, penunjuk perasaan berkumpul di Bundaran HI dengan sebahagian mereka memakai topeng gas dan membawa sepanduk bagi mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan sebagai bencana nasional.

Kebakaran besar yang merebak pantas susulan fenomena cuaca El Nino menyebabkan kawasan tanah gambut mudah terbakar, sekali gus mencetuskan kebakaran hutan dan jerebu terburuk dalam tempoh 11 tahun.

Keadaan itu meningkatkan kes penyakit pernafasan serta membawa pencemaran hingga merentas sempadan ke negara jiran, Malaysia, Singapura dan Filipina.

Media Indonesia melaporkan, para peserta demonstrasi mula berkumpul ke titik-titik tertentu di sekitar ibu negara sejak pagi semalam dan masih belum reda hingga ke lewat petang. 

Sebahagian daripada mereka membawa sepanduk tertera mesej “Jika kami terbakar, kamu turut terbakar bersama kami”, selain mengangkat isyarat tiga jari sebagai simbol bantahan.

Sepanduk yang memaparkan imej hidupan liar yang menjadi korban kebakaran juga ditunjukkan bagi mengukuhkan mesej bantahan. 

Turut kelihatan sepanduk berupa imej pimpinan tertinggi negara itu yang dijilat api bagi menyampaikan rasa kemarahan rakyat.

Selain isu kebakaran hutan, para penunjuk perasaan turut menuntut pemerintah menghentikan perbelanjaan bagi program populis, termasuk skim makanan percuma Makan Bergizi Gratis yang diperkenalkan Prabowo, selain beberapa tuntutan lain.

Antara tuntutan itu adalah mengenai isu pengurusan ekonomi dan anggaran negara yang didesak agar pelaksanaannya mengutamakan kepentingan rakyat; soal akses pendidikan dan layanan dasar yang merata dan terjangkau; reformasi hukum yang menggesa agar penyalahgunaan kuasa dihentikan; serta pembanterasan rasuah.

Di Jakarta, kumpulan pelajar, telah dihalang oleh puluhan anggota polis dan tentera, sekali gus mencetuskan beberapa insiden pergelutan. 

Di Yogyakarta pula, kekecohan yang melibatkan aksi pembakaran turut dilaporkan terjadi di Jalan Malioboro, iaitu di kawasan pusat kota yang terkenal dengan tarikan pelancongan. 

Meskipun begitu, belum dapat dipastikan identiti kelompok yang mencetuskan aksi pembakaran berkenaan.

“Revolusi! Revolusi!” laung para penunjuk perasaan.