Dr Rozaime balas PU Syed, ‘sebab apa nak boikot? Sebab saya tegur MP ponteng Parlimen?’

Selepas seruan PU Syed supaya ahli Pas memboikot Dr Rozaimi Ramle kerana menegur Ahli Parlimen yang ponteng sidang tanpa keuzuran, Dr Rozaimi tampil mempersoalkan tindakan pendakwah itu.

Dr Rozaimi berkata, beliau tidak kisah sekiranya ahli politik mahu memboikotnya, namun soalnya, mengapa tindakan itu perlu dilakukan.

“Hari ini PU Syed buat hantaran status Facebook menyeru ahli Pas untuk boikot RORA and the gang. Status beliau itu muncul setelah saya buat status menjawab dirinya.

“Saya bukan syarikat perniagaan atau parti pun kalau nak boikot. Sebab tidak merugikan apa-apa. Saya tidak kisah orang politik nak boikot saya. Sebab nanti ketika pilihan raya, undi kita pula yang orang politik perlukan. Kan?

“Justeru, okay saja nak boikot saya. Cuma sebab apa nak boikot itu elok dinyatakan,” balasnya.

Beliau bertanya, adakah seruan boikot itu dibuat hanya kerana tegurannya terhadap Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang tanpa keuzuran.

“Adakah sebab saya tegur ahli Parlimen ponteng sidang Parlimen tanpa uzur?,” soal beliau.

Dr Rozaimi bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya PU Syed mahu memboikotnya, sambil berharap pendakwah itu kekal tenang.

Terdahulu, PU Syed secara terbuka mengajak ahli Pas memboikot Dr Rozaimi selepas ahli akademik itu menegur sikap wakil rakyat yang ponteng persidangan Dewan Rakyat tanpa keuzuran.