Bersatu dijangka meterai CSA dengan Anwar, 13 ahli Parlimen digantung pula tak dijemput
Ketika sekumpulan ahli Parlimen Bersatu dijangka menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini, 13 wakil rakyat parti itu yang digantung keahlian dilaporkan tidak menerima jemputan untuk menyertai majlis berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga bekas Ketua Srikandi Bersatu, ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bersama 12 lagi ahli Parlimen yang digantung menghadiri majlis tersebut.
“Tiada (jemputan), tiada info. Saya rasa 13 Ahli Parlimen yang digantung Bersatu tak dipanggil (hadir majlis menandatangani CSA),” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Kenyataan Mas Ermieyati itu menunjukkan kumpulan ahli Parlimen berkenaan masih belum menerima maklumat mengenai perjanjian tersebut, meskipun beberapa wakil rakyat yang kekal bersama kepimpinan Bersatu dijangka menyatakan sokongan kepada Kerajaan MADANI melalui CSA.
Sokongan tambahan
Terdahulu, media melaporkan Bersatu dijangka menandatangani perjanjian berkenaan sebagai komitmen memberikan sokongan terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 atau Belanjawan 2027 yang dibentangkan Anwar pada 9 Oktober lalu.
Dilaporkan seorang pemimpin Bersatu mengesahkan rancangan menandatangani CSA itu, namun butiran mengenai syarat perjanjian dan senarai ahli Parlimen yang terlibat masih belum diperoleh.
Sementara itu, laporan Suara.TV yang memetik sumber menyebut perjanjian tersebut dijangka membabitkan 19 ahli Parlimen yang masih bersama Bersatu, sekali gus berpotensi memberikan sokongan tambahan kepada pentadbiran Anwar ketika pengundian Belanjawan 2027.
Menerusi perjanjian berkenaan, ahli Parlimen yang terlibat juga dijangka menerima peruntukan khas bagi kawasan masing-masing mulai tahun depan, tertakluk kepada persetujuan dan mekanisme yang akan dimuktamadkan.
Pada 27 Oktober lalu, Anwar menegaskan kerajaan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang menerusi rundingan dan perjanjian yang dipersetujui bersama.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan untuk rakyat tetap disalurkan ke semua kawasan Parlimen tanpa mengira parti politik, namun kaedah penyaluran peruntukan melalui wakil rakyat merupakan perkara berbeza yang boleh dirundingkan.
Pendekatan CSA juga bukan sesuatu yang baharu apabila Pakatan Harapan (PH) pernah menandatangani persefahaman dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021 bagi menjamin kestabilan politik dan kelancaran urusan Parlimen.
Melalui perjanjian seumpama itu, ahli Parlimen pembangkang boleh memberikan sokongan terhadap usul keyakinan dan belanjawan tanpa perlu menyertai kerajaan secara rasmi.