11 barangan dikawal harga sempena Deepavali, peniaga ingkar berdepan denda hingga RM500,000

FOTO BERITA: Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Turut hadir Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh Timbalan Menteri KPDN, Datuk Azman Adam Ketua Pengarah Kuasa KPDN dan Datuk Rosyam Nor Rakan Strategik ST Rosyam Mart di ST Rosyam Mart Jakel Square, Lot 159, Jakel Square, Off Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur. 29hb Oktober 2026 (Khamis)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan 11 jenis barangan keperluan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang akan berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 November ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu meningkat berbanding sembilan barangan tahun lalu dengan penambahan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang dari China.

Menurutnya, pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan pengguna memperoleh barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Deepavali pada 8 November ini, tanpa membebankan peniaga.

Antara barangan yang dikawal ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang China.

Beliau berkata, berdasarkan perbandingan dengan tahun lalu, majoriti barangan kawalan menunjukkan harga stabil, malah lima barangan di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan harga maksimum.

Barangan tersebut ialah kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia.

Bagaimanapun, daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang mencatatkan peningkatan harga maksimum di peringkat borong dan runcit di seluruh negara.

Armizan berkata, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi harga yang ditetapkan.

Peniaga yang menjual barangan melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Peniaga juga diwajibkan menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000, manakala syarikat sehingga RM20,000.

Dalam pada itu, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.