Dari RM12.7 bilion kepada RM2 trilion! Bursa Malaysia cipta sejarah 50 tahun
Bermula dengan hanya 264 syarikat tersenarai dan permodalan pasaran RM12.7 bilion pada 1976, Bursa Malaysia kini berkembang menjadi institusi pasaran modal dengan lebih 1,100 syarikat tersenarai serta permodalan pasaran melebihi RM2 trilion.
Pencapaian sepanjang lima dekad itu mencerminkan perkembangan pasaran modal negara, selain peranan Bursa Malaysia sebagai antara institusi penting dalam pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata demikian ketika meraikan ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia dalam satu majlis malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata kejayaan sesebuah institusi kewangan tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka dan pertumbuhan permodalan pasaran semata-mata.
Sebaliknya, ukuran sebenar kejayaan terletak pada keyakinan pelabur yang berjaya dibina serta peluang ekonomi yang diwujudkan kepada rakyat dan perusahaan tempatan.
Menurut Anwar, aspek tatakelola yang baik, ketelusan dan keadilan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pasaran modal negara kekal diyakini pelabur.
Katanya, usaha itu juga penting supaya perkembangan pasaran modal bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur besar, malah membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan tempatan untuk berkembang.
Beliau menegaskan bahawa keyakinan terhadap institusi pasaran modal perlu menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Ekonomi MADANI hadapi cabaran global
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu bersedia menghadapi ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi serta peralihan tenaga global yang semakin mempengaruhi landskap ekonomi dunia.
Justeru, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi landasan kerajaan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi, meningkatkan daya saing negara serta memastikan pertumbuhan yang mampan dan terangkum.
Pendekatan itu juga bertujuan memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati lebih meluas, termasuk oleh perusahaan tempatan yang memerlukan akses kepada peluang pembiayaan dan pasaran.
Anwar berharap Bursa Malaysia terus berkembang dalam tempoh lima dekad akan datang sebagai institusi yang diyakini pelabur dan menjadi pemangkin kepada kemakmuran negara.
Perkembangan Bursa Malaysia sejak 1976 itu turut memperlihatkan perubahan besar landskap ekonomi negara, daripada sebuah pasaran dengan ratusan syarikat tersenarai kepada institusi pasaran modal bernilai lebih RM2 trilion hari ini.
BACA JUGA PH tambah 3 calon, kini 24 kerusi bakal ditandingi menjelang penamaan calon PRN Melaka esok