‘Dulu PM9 ditekan, kini PMX pula?’, strategi lama Umno seperti sedang diulang

Pemerhati politik, Liyana Marzuki melihat perkembangan politik negara ketika ini seolah-olah mengulangi percaturan yang pernah berlaku menjelang kejatuhan beberapa pentadbiran terdahulu, khususnya ketika pemerintahan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas Peguam Kanan Persekutuan itu berpendapat wujud persamaan antara strategi politik yang dimainkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan perkembangan terkini menjelang PRN Melaka.

Ia termasuk penggunaan sentimen kaum dan agama, pilihan raya negeri di kubu kuat serta desakan supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal.

“Memerhati perkembangan dunia politik kini, ia satu dejavu. Macam pernah kita lihat dulu.

“Bandingkan post PRU14 dan PRU15, benda-benda yang terjadi seperti mainan from the same playbook,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Pengendali podcast Jangan Pajak Otak (JPO) itu turut mengimbas bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertama selepas PRU14 berdepan pelbagai kontroversi membabitkan isu kaum dan agama.

Antaranya, isu ICERD, kuil, kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim serta isu Rohingya dan pendatang tanpa izin.

Beliau berpendapat sentimen itu telah membentuk tekanan politik terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga bekas Perdana Menteri berkenaan terpaksa mempertahankan DAP daripada pelbagai serangan ketika itu.

‘Kluster mahkamah’

Mengulas perkembangan selepas tumbangnya kerajaan PH pada 2020, Liyana turut mengaitkan peranan kelompok pemimpin Umno yang pernah digelar sebagai ‘kluster mahkamah’ dengan tekanan terhadap pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kemudiannya Ismail Sabri.

Untuk rekod, pada 10 Mac 2021, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menyifatkan pemimpin yang dilabel sebagai ‘kluster mahkamah’ sebagai benteng pertahanan terakhir parti tersebut ketika berlaku pertikaian dalaman mengenai hubungan Umno dengan Bersatu.

Menurut Liyana, tekanan terhadap Ismail Sabri semakin ketara selepas kemenangan BN dalam PRN Melaka pada 2021 dan Johor pada 2022, sehingga wujud desakan supaya PRU15 diadakan tanpa menunggu penggal Parlimen berakhir.

Desakan itu turut direkodkan pada 2022 apabila Zahid secara terbuka menggesa pembubaran Parlimen dipercepatkan, meskipun ketika itu timbul kebimbangan pilihan raya diadakan menjelang musim tengkujuh.

Bagaimanapun, keputusan PRU15 tidak memberikan majoriti mutlak kepada BN, sebaliknya membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penyertaan Umno dan BN.

“Walau tak dapat memerintah Malaysia secara mutlak, mereka masih dalam kerajaan dan punya kuasa.

“Playbook ini boleh dikatakan berjaya,” tulis Liyana mengenai tafsirannya terhadap percaturan politik berkenaan.

Sentimen

Beliau kemudian membandingkan episod itu dengan situasi selepas hampir empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, apabila sekali lagi melihat isu kaum dan agama muncul dalam perdebatan politik melalui kontroversi stoking, bendera, kuil serta Rohingya.

Liyana mendakwa isu-isu tersebut mempunyai kaitan dengan strategi yang disebutnya sebagai ‘Ops Chinese Wave’, ‘Ops Indian Wave’ dan ‘Ops Bumiputera Wave’, yang menurut beliau bertujuan membentuk sentimen menjelang pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, BN mencatat kemenangan besar pada PRN Johor Julai lalu dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, sebelum menghadapi PRN Melaka yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Malah, Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 28 Oktober lalu secara rasmi mengesahkan kerjasama politik dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri itu, termasuk persetujuan melancarkan manifesto bersama.

Persamaan yang lebih ketara turut boleh dilihat melalui desakan terhadap Perdana Menteri, apabila Zahid pada Perhimpunan Agung Umno September lalu memberikan dua pilihan kepada pihak yang mahu BN meninggalkan Kerajaan Perpaduan, sama ada mendapatkan mandat baharu menerusi PRU atau mengemukakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Persamaan

Liyana turut mengaitkan pemeteraian Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan Anwar dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas semalam sebagai langkah yang mempunyai persamaan dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ketika pentadbiran Ismail Sabri.

MoU pada September 2021 itu membabitkan kerajaan dan PH, antara lain bagi menjamin kestabilan politik serta membolehkan pelaksanaan beberapa pembaharuan, termasuk undang-undang antilompat parti.

CSA terbaharu pula menyaksikan enam Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Muhyiddin serta tujuh Ahli Parlimen lain bersetuju menyokong pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal, termasuk kelulusan Belanjawan 2027.

Liyana mendakwa terdapat usaha untuk menggagalkan Belanjawan 2027 sebagai cara menguji sokongan terhadap Perdana Menteri, selain menyebut khabar angin kemungkinan pilihan raya umum diadakan seawal Disember.

Namun, dakwaan mengenai rancangan tersebut belum dapat disahkan, manakala Belanjawan 2027 telah pun diluluskan pada peringkat dasar melalui undian suara di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu sebelum dibawa ke peringkat jawatankuasa.

Mengulas keseluruhan perkembangan itu, Liyana merumuskan tiga langkah yang menurutnya mempunyai persamaan dengan percaturan politik sebelum ini.

“Mainkan retorik politik kaum dan agama. Adakan PRN di kubu kuat. Desak PRU sebelum cukup penggal,” katanya.

Dalam masa sama, Liyana mengingatkan bahawa persaingan politik tidak semestinya mengikut perancangan satu pihak sahaja.

“Tapi mereka juga jangan alpa. Kalau anda ada playbook, orang lain pun ada playbook juga.

“Kita tengok playbook mana yang mengena,” kata bekas Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu lagi.

BACA JUGA Dari anak muda 25 tahun hingga bekas Ketua Menteri, 24 calon PH Melaka siap hadapi penamaan esok