‘Ayuh turun beramai-ramai’, Bang Mat seru jentera AMANAH, PH beri sokongan kepada calon
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru seluruh penyokong dan jentera parti itu serta Pakatan Harapan (PH) supaya turun beramai-ramai memberikan sokongan kepada calon gabungan berkenaan sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai Bang Mat berkata, kehadiran penyokong bukan sekadar memberikan semangat kepada calon, malah menjadi lambang solidariti, kesatuan dan iltizam untuk meneruskan perjuangan demi rakyat Melaka.
“Ayuh seluruh penyokong dan jentera Parti AMANAH Negara, khususnya di Melaka!
“Bang Mat menyeru semua sahabat seperjuangan untuk turun beramai-ramai memberikan sokongan dan semangat kepada calon-calon Pakatan Harapan sempena Hari Penamaan Calon PRN Melaka 2026,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menekankan kepentingan kerjasama antara seluruh jentera AMANAH dan PH bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan secara tersusun.
Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, setiap anggota jentera perlu mengutamakan disiplin, ketertiban dan semangat setiakawan ketika memberikan sokongan kepada calon masing-masing.
“Bang Mat berharap seluruh jentera AMANAH dan Pakatan Harapan dapat bergerak sebagai satu pasukan, penuh disiplin, tertib dan semangat setiakawan,” katanya.
Mohamad turut mengingatkan penyokong bahawa perjuangan menghadapi pilihan raya bukan hanya tertumpu kepada kehadiran pada hari penamaan calon, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita mulakan langkah perjuangan ini dengan tekad yang kuat, bekerja bersungguh-sungguh dan mendekati rakyat dengan penuh hikmah,” katanya lagi.
Peraturan
Beliau dijadual hadir pada jam 8 pagi ini di Dewan Tun Ali, Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, bagi memberikan sokongan sempena penamaan calon DUN Bukit Katil.
Kerusi tersebut bakal dipertahankan oleh Pengerusi PH Melaka yang juga Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Adly Zahari, yang pernah menerajui pentadbiran negeri sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020.
PH dijadual mempertaruhkan 24 calon daripada tiga parti komponennya, iaitu 10 daripada PKR manakala AMANAH dan DAP masing-masing tujuh, bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN kali ini.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 28 pusat penamaan calon akan dibuka serentak di seluruh Melaka esok, dengan proses penyerahan kertas pencalonan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.
SPR turut mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya mematuhi peraturan serta arahan pihak berkuasa bagi memastikan urusan penamaan calon berjalan lancar, aman dan teratur.
PRN Melaka ke-16 dijadual berlangsung pada 14 November ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November, dengan sebanyak 28 kerusi DUN menjadi rebutan.
Mengakhiri seruannya, Mohamad mengajak seluruh penyokong PH bersama-sama memulakan gerak kerja pilihan raya dengan semangat kebersamaan.
“Ayuh sahabat semua, kita turun bersama!
“Melaka Rumah Kita, tanggungjawab kita bersama,” kata Bang Mat lagi.
BACA JUGA ‘Dulu PM9 ditekan, kini PMX pula?’, strategi lama Umno seperti sedang diulang